SEPANG 23 Feb. – Pembangunan yang semakin rancak di Kota Warisan di sini menyebabkan jumlah kepadatan penduduk semakin bertambah sekali gus memerlukan pelbagai kemudahan disediakan di kawasan berkenaan.
Antara perkara asas yang mendesak ketika ini ialah keperluan sekolah menengah di kawasan berkenaan bagi memudahkan murid yang tamat persekolahan peringkat rendah melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.
Perkara itu merupakan agenda utama yang diperjuangkan oleh Persatuan Penduduk Kota Warisan dan mereka berharap perkara berkenaan mendapat reaksi positif daripada Kementerian Pendidikan.
Pengerusinya, Irwan Mohd. Sobri berkata, ketika ini murid yang tamat belajar di Sekolah Rendah (SK) Kota Warisan perlu melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Cyberjaya, Putrajaya dan juga Bandar Baharu Salak Tinggi.
“Keperluan sekolah menengah di Kota Warisan amat mendesak kerana sekarang ibu bapa perlu menghantar anak-anak ke sekolah berada di luar kawasan. Situasi ini menyebabkan mereka perlu mengeluarkan kos yang tinggi.
“Tapak sekolah sudah ada di sini dan kawasan berkenaan telah pun digazetkan pada tahun lalu oleh Pejabat Tanah Sepang selain diluluskan dalam mesyuarat kerajaan negeri Selangor,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dakwa Irwan, ketika ini Pesuruhjaya Tanah Persekutuan hanya menunggu maklum balas daripada kementerian dalam aspek peruntukan dan bajet bagi pembinaan sekolah sebelum status tanah ditukar milik.
“Sekarang ini jumlah penduduk di Kota Warisan dianggarkan sebanyak 50,000 orang dan jumlah ini dijangka meningkat ke 100,000 dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Jadi pembinaan sekolah menengah di sini amat diharapkan,” katanya.
“Sekarang kita ada menggerakkan petisyen pembinaan sekolah menengah di Kota Warisan dan sehingga kini telah ditandatangani oleh lebih 1,000 penduduk. Petisyen ini akan diserahkan kepada kementerian,” katanya.
Dalam pada itu katanya, difahamkan pembinaan sekolah menengah tersebut di peringkat menunggu untuk kelulusan namun, ia dikatakan tidak menjadi keutamaan kementerian untuk disegerakan buat masa ini.











