KLANG 23 Feb. – Tiga hari selepas dikejutkan dengan penemuan tokong berhala sehingga mencetus kemarahan umat Islam, hari ini, Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, di sini, sekali lagi diduga dengan perbuatan serupa.
Dua patung berhala agama Hindu diletakkan di atas tembok pintu masuk surau tersebut dan ia dikesan pada pukul 2.15 petang ini oleh seorang wanita yang dalam perjalanan ke kelas agama, sebelum dia bertindak membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika mengesahkan kejadian itu berkata, Kedua dua patung kecil bersaiz (4 inci x 3 inci) tersebut, dipercayai patung hiasan dan berada dalam keadaan berhabuk.
“Siasatan menyeluruh dibuat dan merangkumi segenap aspek. Kita juga tidak tolak kemungkinan perbuatan ini dilakukan orang kurang siuman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes ujarnya disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan usaha sedang giat dilaksanakan bagi mengesan suspek. – UTUSAN ONLINE











