KANGAR – Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sebulat suara memutuskan untuk menggantung jawatan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, berkuat kuasa hari ini.
Timbalan Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, penggantungan tugas presiden itu diputuskan melalui mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan berkenaan semalam, berkuat kuasa sehingga tarikh Kongres PFA berikutnya yang belum ditetapkan.
“PFA mengambil tindakan tersebut merujuk kepada peruntukan statut PFA pada artikel 36, 37 dan 38.
“Selain itu, Presiden PFA dilihat turut melanggar perjanjian penajaan antara Kelab Bola Sepak Qhaleefa yang mana Presidennya adalah beliau (Ahmad Amizal Shaifit) dan PFA yang dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan kepada Bernama hari ini.
Mohd. Abdul Karim Khan juga memaklumkan jawatan Naib Presiden 2 PFA dipegang Muhammad Sukur Hashim, turut digantung di samping ‘merehatkan’ Setiausaha Agung PFA yang disandang Adib Rabani Muaz Abul Malik sehingga tarikh Kongres PFA seterusnya. – Bernama











