KUALA LUMPUR- Masjid Al- Akram di Kampung Datuk Keramat di sini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi antara masjid pertama di Malaysia yang menyediakan khidmat mesin ATM beras secara percuma buat golongan asnaf.
Mesin itu yang diimport dari Indonesia telah disumbangkan oleh syarikat Megasoft Network Sdn. Bhd. kepada Masjid Al-Akram serta dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 450 asnaf dalam kariah berkenaan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd. Ajib Ismail berkata, pemberian beras secara percuma menerusi mesin ATM tersebut diharap dapat mengurangkan beban asnaf dalam menjalani kehidupan seharian.
“Saya juga mengharapkan agar masjid-masjid lain di Wilayah Persekutuan dapat melaksanakan program serupa agar masyarakat khususnya asnaf terus dibela selain merapatkan hubungan mereka dengan aktiviti masjid.
“Selain itu, badan-badan korporat juga disaran untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan mendermakan mesin ATM beras kepada masjid yang lain,” katanya pada pemberita selepas melancarkan mesin ATM beras di Masjid Al-Akram sebentar tadi.
Terdahulu seramai 45 asnaf terpilih menerima sumbangan beras percuma sebanyak dua liter seorang dan ia akan diberikan secara berterusan setiap minggu. – K! ONLINE











