KUALA LUMPUR 22 Feb. – Rakyat diminta supaya tidak membuat spekulasi sebaliknya menunggu terlebih dahulu sama ada akan berlaku pengumuman penting mengenai bayaran tol lebuh raya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu buat masa ini, namun menyifatkan ‘pengumuman penting’ itu sebagai komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Saya umumkan ke? Adakah saya yang umum? Tunggu, masa itulah siapa umum. Saya tidak boleh mengatakan apa-apa sekarang, jadi tolong tunggu hingga tempoh tersebut.
“Saya rasa itu adalah komitmen kita dalam manifesto PH. Kita tidak lepas tangan. Kita hendak buat tapi masih berterusan mengikut keupayaan kerajaan kerana semua tahu masalah kos melambung tinggi daripada yang munasabah,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PH berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Novosi Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) antara Prasarana, MRCB-George Kent Sdn. Bhd. (MRCB-GK) dan Kontraktor Pakej Kerja.
Semalam, rakan sejawatan Guan Eng dalam PH yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, kerajaan akan membuat satu pengumuman penting berkaitan kutipan tol lebuh raya dalam masa terdekat.
“Tol, kita baru bincang dalam Kabinet. Mungkin dalam sehari dua ini, ada statement (kenyataan) berkaitan dengan tol.
“Saya tidak boleh nak cakap kerana biarlah menteri berkaitan yang buat pengumuman,” kata Muhyiddin sewaktu berucap dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih di hadapan kira-kira 150 penduduk Batu 26 di Beranang, Hulu Langat, Selangor.
Dalam pada itu, apabila ditanya adakah kedudukan kewangan negara semakin baik hingga membolehkan kerajaan memansuhkan tol, Guan Eng berkata: “Kami sedang berusaha secara progresif tapi akan mengambil masa. Saya tidak kata seperti yang awak tanya, kita tunggu pengumumannya dan saya juga akan semak dengan Muhyiddin.
“Saya yakin ada pengumuman yang akan dibuat untuk menjelaskan perkara ini tapi hingga waktu tersebut tolong jangan membuat sebarang spekulasi.”











