PUTRAJAYA 22 Feb. – Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim di Mahkamah Koroner Shah Alam akan tetap diteruskan pada 25 Februari ini kerana ia membabitkan kepentingan awam.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan memutuskan demikian selepas menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman.
Jawatankuasa terbabit membuat permohonan untuk menangguhkan prosiding itu bagi membolehkan rayuan berhubung keputusan yang tidak membenarkan jawatankuasa itu menjadi pihak berkepentingan dalam inkues terbabit diputuskan.
Rayuan tersebut akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac ini bagi membolehkan jawatankuasa bertindak kuil memfailkan afidavit mengenai kedudukan perundangannya dalam permohonan serta bagi Jabatan Peguam Negara memfailkan afidavit balas kepada permohonan.
Setakat ini, Mahkamah Koroner telah mendengar keterangan 13 saksi dalam tempoh lapan hari prosiding.
Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman sebelum ini memfailkan notis usul untuk menangguhkan inkues dan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung permohonan menjadi pihak terlibat dalam inkues.
Pada 8 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman mengekalkan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang menolak permohonan jawatankuasa terbabit mengikut Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah.
Inkues itu dijalankan bagi mencari punca kematian Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya ekoran kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.











