Tangani pengangguran belia Melayu - Utusan Malaysia

Tangani pengangguran belia Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM mendepani cabaran semasa terhadap pembangunan sektor pendidikan negara, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) yang kini memasuki usia sembilan tahun penubuhannya bertekad akan terus kekal relevan dalam apa jua perubahan landskap politik negara walau mungkin lingkaran perjalanannya kelihatan sedikit berliku.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bermatlamat membantu mempertingkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kepimpinan pelajar Melayu dan bumiputera, Gagasan tidak akan lokek dalam berkongsi ilmu, kepakaran serta kebolehan bagi mencapai hasrat tersebut. Apatah lagi, ketika Malaysia sedang berhadapan dengan proses pembaharuan politik yang menyaksikan landskap pendidikan negara itu sendiri sedang melewati perubahan demi perubahan yang diyakini oleh Gagasan tidak akan menjejaskan ruang dan peluang yang bakal dinikmati oleh orang Melayu dan bumiputera.

Gagasan sudah pasti akan terus bersifat non-partisan tetapi pada waktu sama terus bergerak seiring dengan kerajaan semasa kerana secara prinsipnya, Gagasan amat yakin pendidikan negara tertakluk kepada kebijaksanaan pembuat dan pelaksana dasar dalam mewarnai bentuk serta corak pendidikan itu sendiri. Tidak dapat dinafikan sebenarnya bahawa pembaharuan landskap politik negara turut mempengaruhi perjalanan Gagasan sebagai salah sebuah NGO pendidikan terulung di negara ini. Namun sebagai sebuah badan yang diasaskan oleh mereka yang ‘matang pendidikan’, Gagasan dilihat mempunyai kemampuan untuk membiasakan diri dengan keadaan masa kini dalam tempoh yang singkat. Gagasan bukan sebuah badan politik, atau bukanlah sebuah NGO pendesak sebenarnya, tetapi kami lebih bersifat membantu mewarnai sektor pendidikan melalui sumbangan idea, pembentukan program pendidikan serta memastikan sektor pendidikan itu sendiri berada di jalur sebenar. Dan sudah tentu dalam menyatakan pandangan, Gagasan akan mengambil sikap ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ (agree to disagree) dalam apa jua pandangan yang disampaikan mengenai dasar-dasar pendidikan negara dengan matlamat, ia memberikan manfaat kepada bangsa Melayu dan bumiputera.

Memuatkan artikel berkaitan…

IDEA

Tidak syak lagi, dengan kepelbagaian latar belakang pemimpin serta ahlinya, Gagasan sentiasa seiring dengan kerajaan dalam membantu merangka dan melontarkan idea pembangunan sektor pendidikan negara. Selama lapan tahun, Gagasan bergerak dengan nada sama, cara sama dan matlamat sama bahawa soal pembangunan dan pembentukan landskap pendidikan negara haruslah dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa kompromi. Bagi Gagasan, pendidikan adalah asas atau teras yang berada di barisan hadapan dan pada masa sama menjadi benteng kekuatan sesebuah bangsa itu sendiri. Dan inilah batu asas kepada penubuhan Gagasan sejak lapan tahun lalu. Justeru cabaran dihadapi Gagasan bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi isu-isu mengenai sektor pendidikan sentiasa diperbincangkan sama ada di Parlimen mahupun warung kopi.

Berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi Kementerian Pendidikan Malaysia (2018), kadar pengangguran dalam kalangan rakyat berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan pada 2017 menunjukkan kadar 3.4 peratus. Kadar itu juga mencatatkan peningkatan tiga kali ganda lebih tinggi pada 10.8 peratus untuk golongan belia. Belia Melayu dan bumiputera berpendidikan tinggi merekodkan kadar pengangguran tertinggi pada 2017 meliputi 4.6 peratus. Manakala belia dengan pendidikan sekolah rendah merekodkan kadar pengangguran 1.9 peratus dan Melayu dan bumiputera yang tidak mempunyai sebarang pendidikan sekolah formal adalah 1.5 peratus.

Nah! Inilah senario dan cabaran yang ada dalam genggaman Gagasan. Mengapa? Gagasan itu sendiri bukanlah hanya sebagai sebuah NGO pendidikan yang ingin melihat kualiti pendidikan itu meningkat serta berkembang tetapi juga berkewajiban untuk memastikan kadar pengangguran tidak menjadi mimpi buruk kepada orang Melayu dan bumiputera. Inilah antara cabaran paling besar dihadapi Gagasan bagi mengisi perjalanan untuk tempoh sekurang-kurangnya lima atau sepuluh tahun mendatang. Gagasan ingin melihat bahawa mutu pendidikan dipertingkatkan, namun pada waktu sama jumlah pengangguran dalam kalangan orang muda diturunkan pada tahap paling minimum.

Marilah kita bergerak sederap sekata bersama kerajaan bagi memperkukuhkan tekad, membugarkan perjuangan agar kita mampu mewariskan bumi tercinta ini kepada mereka yang hebat dan mampu meletakkan di persada dunia.

DATUK SYED ANUAR SYED MOHAMAD ialah Setiausaha Agung Gagasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×