KUALA LUMPUR 22 Feb. – Kira-kira 300 kanak-kanak warga Yemen teruja menerima sumbangan berupa pek makanan dan kit pendidikan ketika dikunjungi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Pembelajaran Alternatif Komuniti Yemen di Serdang, dekat sini hari ini.
Program anjuran Malaysian Relief Agency (MRA) dan Yayasan Kecergasan dan Sukan Wanita Malaysia (WSFFM) itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden WSFFM, Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil serta Eksekutif Operasi Antarabangsa Yemen, Mohd. Fadhil Baharudin.
Menurut Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman, program dan sumbangan yang diedarkan ini adalah hasil inisiatif WSFFM; Children Republic of Yemen (CRY) dengan kolaborasi bersama Al-Tijarah; Perdana Global Peace Foundation; Seniman Paksi Rakyat; Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka); pertubuhan Tawfiq serta Yemen Kasih yang berkerjasama dengan MRA.
“Untuk maklumat, keadaan negara Yemen ketika ini masih lagi tidak stabil akibat peperangan malah pihak MRA juga difahamkan kebanyakan komuniti Yemen yang berada di Malaysia tidak dapat pulang akibat keadaan negara mereka dan ini menjadikan kehidupan mereka di Malaysia agak mencabar.
“Sehubungan itu MRA juga menyeru rakyat Malaysia yang prihatin terhadap penderitaan rakyat Yemen di dalam dan luar Yemen agar memberi sokongan dan sumbangan ke dalam akaun CIMB Bank 8600059478 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi MRA di talian 03-9174 4672. – UTUSAN ONLINE











