Biarkan Hadi lakukan undi tidak percaya - Anwar - Utusan Malaysia

Biarkan Hadi lakukan undi tidak percaya – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap khabar angin mengenai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya datang daripada Pas, bukan dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, beliau sejak beberapa hari lalu telah bertemu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan kesemua mereka tidak mengetahui wujud usaha tersebut.

Beliau menganggap apa yang diperkatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai gerakan undi tidak percaya itu sukar untuk dipercayai atas alasan Pas sendiri mengizinkan pembohongan dalam perkara tertentu.

“Ia andaian Hadi. Biarkan beliau lakukan usul tersebut (undi tidak percaya),” kata Anwar kepada pemberita ketika hadir ke Persidangan Antarabangsa Thirukkal di Universiti Malaya di sini hari ini.

Kebelakangan ini wujud spekulasi membabitkan Dr. Mahathir dan Anwar kononnya persetujuan untuk memberikan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu tidak akan berlaku seperti dijanjikan sekali gus wujud usaha bagi menggulingkan Dr. Mahathir.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau mendengar pandangan semua pihak berhubung siapakah calon PKR yang akan diletakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Jelasnya keputusan akhir siapa akan menjadi calon akan ditentukan Biro Politik PKR meskipun wujud suara-suara menolak pencalonan semula Dr. S. Streram untuk PRK berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN