SD Impex ambil alih 80 peratus saham Comerich - Utusan Malaysia

SD Impex ambil alih 80 peratus saham Comerich

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 22 Feb. – SD Impex Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) memeterai perjanjian dengan Comerich Sdn Bhd bagi mengambil alih 80 peratus pegangan saham dalam syarikat tersebut dengan harga RM2.2 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Comerich adalah syarikat milih penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang terlibat dalam perniagaan memasarkan ayam diproses dan telah mendapat sijil halal sejak 2014.

Pengerusi SD Impex yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SDHB, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, dengan penglibatan SD Impex sebagai pelabur utama dalam Comerich, beliau berharap syarikat berkenaan akan lebih berdaya saing diperingkat lebih tinggi.

“Kerjasama yang julung kali dilakukan ini diharap akan meningkatkan semangat baru kepada penternak di bawah program keusahawan SEDC dan juga penternak bumiputera yang ingin bersama dalam memajukan industri bekalan ayam.

“Syarikat SD Impex akan membuka peluang usahawan dalam mewujudkan hubungan ekonomi bagi pembangunan perniagaan industri halal serta membina rangkaian dua hala melalui latihan pembangunan usahawan.

“Ia turut membuka peluang perniagaan kepada penternak bumiputera bagi memenuhi peraturan Syariah di Sarawak,” katanya semasa berucap pada majlis permeteraian usaha sama itu antara SD Impex dan SEDC di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Hussain berkata keputusan untuk menjual saham Comerich itu adalah sejajar dengan strategi baharu SEDC untuk memberi fokus kepada projek perintis industri ternakan.

“SEDC sebagai agensi kerajaan akan terus berperanan untuk meningkatkan sosio ekonomi dalam membangunkan dan mempertingkatkan kemampuan para penternak bumiputera dengan memberi bantuan dari segi dana, latihan serta pemasaran produk.

“Comerich boleh menjadi penggerak utama dalam memastikan rangkaian yang sudah wujud akan terus berkembang dan mencapai matlamatnya dalam menguasai industri halal,” katanya.

– BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN