KANGAR 22 Feb. – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub menyifatkan dakwaan wujud undi tidak percaya kalangan Pakatan Harapan (PH) terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tidak berasas.
Sebaliknya beliau berkata, dakwaan tersebut dilihat sebagai usaha Pas untuk cuba memecah belahkan kerajaan PH.
Katanya, isu tersebut tidak pernah berbangkit sebaliknya semua pihak sentiasa bersama Dr. Mahathir dan bekerja keras untuk kepentingan rakyat serta negara.
“Rakyat tak nak dengar Dr. Mahathir jatuh atau tidak, siapa ganti dia… Sebaliknya rakyat hendak tengok apa kerajaan boleh buat untuk membantu mereka.
“Rakyat nak dengar apa dia pengumuman seterusnya, berita gembira, perubahan yang boleh ditumpang. Itu yang kita pikir siang dan malam untuk menyelesaikan isu rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani peringkat negeri ini di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pendirian Pas untuk menyokong kepemimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri juga sukar untuk dipercayai.
Katanya, hal demikian kerana, kepemimpinan tertingginya selalu mengeluarkan kenyataan ‘berpusing-pusing’.
“Sedangkan Dr. Mahathir sendiri tidak percaya dengan pendirian Pas apatah lagi kita. Pas ini parti yang cakap berpusing-pusing, hari cakap lain, esok cakap lain. Sukar hendak duga.
“Sekarang musuh dengan DAP tetapi parti yang sama (DAP) itulah yang Pas menjalinkan kerjasama ketika dalam Pakatan Rakyat dahulu. Biarlah Pas dengan dunianya sendiri,” katanya.
Sementara itu, ketika mengulas, mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa DAP dan PKR tidak bersungguh-sungguh membantu calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Salahuddin berkata, Abdul Hadi bercakap bohong dalam soal tersebut.
Katanya, sepanjang tempoh kempen ini, rata-rata pemimpin komponen PH semuanya turun padang membantu calon Bersatu.
“Saya yakin dengan kerja kuat tidak ada masalah untuk PH mengekalkan kemenangan di Semenyih. Malah kerjasama Pas dan UMNO juga lebih menguntungkan kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE











