LONDON 21 Feb. – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri berkata, kemenangan satu-satunya penyelesaian yang mampu menyelamatkan masa depannya bersama kelab gergasi England itu.
Bagaimanapun, tegasnya, satu kemenangan tidak cukup, tetapi, perlu menang tiga atau empat perlawanan berturut-turut selepas ini termasuk saingan Liga Europa menentang Malmo, esok dan final Piala Liga bertemu Manchester City pada Ahad.
“Saya kena fikir macam saya akan kekal lama di sini, jika tidak saya tidak boleh bekerja langsung. Jadi, kami perlu menang tiga, empat perlawanan secara berturut-turut. Itu sahaja jalan penyelesaiannya,” katanya.
Chelsea kini tergelincir ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris selepas kalah berturut-turut dalam tiga perlawanan di tempat lawan. Ini tidak termasuk kalah kepada Manchester United dalam Piala FA, Selasa lalu.
Sarri dilaporkan masih diberi tanggungjawab mengendalikan Chelsea menentang Malmo, walaupun, desakan memintanya meletakkan jawatan semakin kuat daripada penyokong kelab tersebut.
Pengendali berusia 60 tahun itu sendiri mengakui tidak lagi dipanggil bertemu pemilik Chelsea, Roman Abramovich atau pengarah kelab, Marina Granovskaia, minggu ini.
“Saya faham tentang kekecewaan penyokong kami kerana mereka mahukan kemenangan. Dengan keadaan bermasalah sekarang, saya sedar situasi itu. Tiada cara lain ketika ini kecuali mempamerkan persembahan dan mendapat keputusan yang baik,” tambah jurulatih dari Itali itu yang tiba Julai tahun lalu dari Napoli. – AGENSI











