HULU LANGAT 21 Feb. – Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat tidak menyalah tafsir kenyataan Perdana Menteri yang bercadang untuk mengurangkan saiz penjawat awam.
Katanya, langkah itu bukan dilaksanakan serta-merta sebaliknya mengambil masa yang lama iaitu dalam beberapa tahun akan datang.
Sehubungan itu, jelasnya, kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu juga tidak akan mengganggu sentimen para pengundi di Semenyih.
“Saya fikir penjawat awam bijaksana. Saya dimaklumkan elok dibaca secara teliti kenyataan yang Perdana Menteri buat. Dia (Dr. Mahathir) ada perjelaskan supaya ada satu anjakan baharu dan perubahan yang perlu berlaku, proses industrialisasi dan penggunaan jentera dan teknologi.
“Kena baca dengan konteks yang luas. Saya tidak setuju kalau Dr. Mahathir kata nak kurangkan (penjawat awam) hari ini juga. Saya fikir, pegawai kerajaan masih penting,tetapi ini akan melalui fasa di mana ia bukan melibatkan setahun dua sahaja, mungkin mendatang dengan melalui revolusi industri 4.0 dahulu dan pelbagai teknologi baharu akan diperkenalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan Utama PH di Bandar Rinching di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang berpendapat jumlah penjawat awam yang dimiliki kerajaan ketika ini adalah terlalu besar dan perlu dikurangkan.
Perdana Menteri memberitahu jumlah terkini penjawat awam adalah seramai 1.7 juta dan telah meningkat dengan mendadak sejak beliau meninggalkan pentadbiran negara pada tahun 2003. – UTUSAN ONLINE











