[VIDEO] Jangan mudah terpedaya kasut murah di media sosial - Utusan Malaysia

[VIDEO] Jangan mudah terpedaya kasut murah di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 21 Feb. – Orang ramai diingatkan jangan mudah terperdaya dengan jualan kasut murah dalam media sosial kerana produk ditawarkan tersebut adalah tiruan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman mendedahkan harga kasut tiruan adalah 20 peratus lebih murah daripada produk asli.

“Kebanyakkan barangan dijual di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter adalah lebih murah sekali gus menyebabkan orang ramai mudah tertarik dengan harga ditawarkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka penjual di media sosial mendakwa tidak memerlukan modal yang besar kerana tidak perlu bayar kos sewaan stor menyimpan barangan sedangkan produk dijual itu adalah tiruan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Iskandar Halim sehubungan itu mengingatkan masyarakat awam agar memeriksa ketulenan produk-produk kasut terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembayaran.

Pada masa sama, beliau memaklumkan pihaknya berjaya merampas 11,883 kasut dan selipar tiruan yang keseluruhan berjumlah RM324,110 di sebuah stor di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur semalam.

Menurut beliau, operasi itu merupakan hasil risikan pihaknya yang selama ini dalam menjejaki penjualan barangan tiruan dalam media sosial.

“Antara jenama kasut tiruan dirampas adalah Gucci, Nike, Adidas, Puma, Converse dan Tommy Hifiger.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(a) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Iskandar Halim memaklumkan pihaknya sedang menjejaki dalang terlibat dalam kegiatan penjualan kasut-kasut tiruan berkenaan.

“Ketika serbuan dijalankan, suspek yang mengendalikan premis tersebut tiada sewaktu operasi dijalankan dan kami juga sedang giat mengesan pemilik stor berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×