IPOH 20 FEB. – ENAM individu termasuk dua wanita warga Vietnam dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO) maut dalam kebakaran sebuah pusat hiburan yang disyaki beroperasi lebih masa di Jalan Sultan Dr. Nazrin Shah di sini hari ini.
Tiga yang maut dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu adalah lelaki tempatan iaitu Tai Chee Kin, 37; Lau Wai Hoong, 36; serta Chooi Keng Heen, 31; sementara dua wanita terbabit ialah Nguyen Thi Thuy Duong, 21, dan Nguyen Thi Trang, 19, manakala seorang lagi mangsa merupakan lelaki Bangladesh dikenali sebagai Johirul, 26.
Difahamkan, bangunan pusat hiburan lapan tingkat termasuk lantai bawah itu pernah beberapa kali diserbu sebelum ini kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran wanita warga asing.
Malah, premis itu juga dikatakan bangunan pejabat milik syarikat pemaju hartanah sebelum dijual dan ditukar menjadi pusat hiburan oleh pemilik baharu. Bagaimanapun pemilik baharu belum mengemukakan permohonan pertukaran status bangunan tersebut kepada pihak bomba.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Sayani Saidon berkata, kesemua mangsa tersebut dipercayai mati akibat sesak nafas kerana terhidu asap tebal.
Menurutnya, dua mayat ditemukan di laluan pintu keluar pusat hiburan tersebut, tiga lagi dijumpai di tandas manakala seorang lagi berada di dalam bilik karaoke.
“Maklumat awal mendakwa terdapat 10 mangsa yang terperangkap dalam kebakaran itu namun semasa operasi dijalankan, didapati jumlah mangsa yang terlibat adalah seramai 14 orang.
“Operasi dipecahkan kepada dua kumpulan di mana kita berjaya menyelamatkan lapan orang mangsa dan menurunkan mereka dari bangunan itu menggunakan jentera Aeriel Ladder Platform (ALP),” katanya.
Sayani memberitahu, mayat dua lelaki terawal dengan seorang daripadanya mengalami sedikit kesan melecur itu ditemukan di laluan keluar dipercayai cuba menyelamatkan diri sebelum operasi pencarian diteruskan dan menjumpai empat mayat lain.
Ujarnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa berdepan kesukaran ekoran tingkat empat dan lima pusat hiburan yang menempatkan 15 bilik karaoke itu dipenuhi dengan sofa dan karpet selain asap tebal yang memenuhi bangunan itu.











