JAKARTA 20 Feb. – Ratusan pelajar didakwa telah melarikan diri dari wilayah Papua berikutan penyebaran berita tidak sahih keganasan oleh pihak tentera Indonesia susulan pembunuhan beramai-ramai pekerja binaan oleh kumpulan pemisah, tahun lalu.
Kematian 16 pekerja berkaitan kerajaan di sebuah kem pekerja Disember lalu mengakibatkan peningkatan ketegangan antara kumpulan pemisah dan tentera Indonesia.
Menurut Sukarelawan Kemanusiaan Nduga dan pegawai agensi pendidikan tempatan, ketegangan itu menyebabkan kerajaan daerah berkenaan memindahkan lebih 400 pelajar ke daerah jiran Jayawijaya.
“Ada dalam kalangan pelajar trauma apabila pihak tentera datang ke sekolah dengan pakaian uniform, ada pelajar yang melarikan diri dalam keadaan ketakutan,” kata penyelaras NGO, Ence Geong.
Menurut aktivis, banyak penduduk juga dipercayai telah meninggalkan kediaman masing-masing menuju ke daerah berhampiran atau ke dalam hutan kerana terdapat berita tidak sahih yang menyatakan tentera akan membakar, mengganggu atau membunuh haiwan ternakan dan orang awam.
Seorang penduduk tempatan, Sripona Nirigi mendakwa, bapanya yang merupakan seorang paderi, Gemin ditembak mati pada 10 Disember lalu dalam operasi yang dilakukan pihak tentera di kawasan berkenaan.
Menurutnya, mayat bapanya yang rentung dibakar itu dijumpai oleh adiknya dua minggu kemudian namun dakwaan wanita terbabit tidak dapat disahkan.
Jurucakap tentera Papua, Kolonel Muhammad Aidi menolak dakwaan bahawa pihak tentera menyerang orang awam dan menyifatkannya sebagai penipuan.
Jelasnya, pihaknya telah menyiasat dakwaan pembunuhan paderi terbabit dan menafikan lelaki itu ditembak oleh tentera namun masih belum dipastikan sama ada dia masih hidup atau sudah mati. – AFP











