PENGUMUMAN kesediaan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David bersara dalam arena sukan adalah detik berakhirnya satu era bagi seorang atlet legenda terkemuka dunia.
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan Nicol yang pernah bergelar pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun merupakan satu pencapaian luar biasa dan sukar dicapai oleh mana-mana atlet.
Chong Wei berkata, Nicol merupakan superstar (bintang sukan handalan) yang dikenali di seluruh dunia dan atlet berusia 35 tahun itu ialah contoh terbaik dan memberikan inspirasi kepada semua atlet di dalam dan luar negara kerana kejayaannya menjuarai kejohanan dunia.
“Kami satu batch (kelompok ahli sukan). Dia ialah seorang atlet yang mempunyai cita-cita tinggi dan tidak mudah berputus asa.
“Semua orang tahu pencapaiannya, selama sembilan tahun bergelar pemain nombor satu dunia ialah pencapaian luar biasa dan sukar dicapai oleh mana-mana atlet. Kita perlu hormati keputusannya. Mana-mana atlet sampai masanya dia akan bersara.
“Saya berharap dia terus menabur bakti berkongsi pengalaman dengan membantu pemain-pemain muda negara. Sekiranya Nicol mahu fokus terhadap bidang perniagaan, saya ucapkan selamat maju jaya,” katanya semalam.
Chong Wei berkata, negara akan kehilangan seorang bintang yang mempunyai pakej lengkap dalam sukan dan keperibadiannya yang profesional sentiasa disanjung tinggi.
Setelah lebih dua dekad beraksi di gelanggang kaca, Nicol mengambil keputusan untuk bersara selepas musim jelajah Persatuan Skuasy Profesional berakhir pada Jun ini dan dia mengakui sudah lama memikirkan perkara itu. – Bernama











