MEXICO CITY 20 Feb. – Bintang tenis Sepanyol yang juga jaguh gelanggang tanah liat, Rafael Nadal telah membuka akademi tenis di Mexico berhampiran sebuah pusat peranginan tepi laut dekat Cancun di sini.
Akademi yang diberi nama Pusat Costa Mujeres itu merupakan cawangan terbaharu yang dibina berdasarkan akademi asal yang diilhamkan Nadal di tempat kelahirannya, Mallorca di Sepanyol.
“Kami sudah melawat ke sini sejak beberapa tahun lalu dan mengenali secara mendalam kawasan ini,” kata juara 11 kali Terbuka Perancis itu yang sudahpun berada di sini lebih awal menjelang Terbuka Acapulco, minggu depan.
Selain mengandungi lapan gelanggang tanah liat yang dilengkapi lampu limpah, akademi tersebut juga mempunyai gelanggang sokongan, gimnasium dan kedai menjual pakaian serta peralatan sukan.
Walaupun, pusat tersebut mensasarkan pelancong dan penduduk tempatan untuk mempelajari tenis, Nadal berkata, ia juga akan menjadi medium jangka panjang bagi membantu pembangunan sukan tenis di Mexico.
Mexico bukanlah negara yang banyak melahirkan pemain tenis yang hebat selepas era Rafael Osuna yang pernah muncul pemain No. 1 dunia dan menjuarai Terbuka Amerika Syarikat pada 1963, selain, tiga gelaran beregu Grand Slam serta memenangi pingat emas beregu Sukan Olimpik ketika dipertandingkan hanya sebagai sukan pertunjukan pada 1968. – AFP











