LIVERPOOL 20 FEB. – PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp mengakui keputusan seri 0-0 menentang seteru lama, Bayern Munich, hari ini, bukanlah impiannya, tetapi dia tetap yakin Reds mampu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Sadio Mane mempersiakan peluang terbaiknya meletakkan Liverpool di depan sewaktu 45 minit pertama permainan, dan persembahan dalam babak kedua telah mengheret skuad bimbingan Klopp terpaksa menunggu sehingga pertemuan di Munich dalam timbal balik kedua peringkat 16 terbaik, 13 Mac ini.
Bagaimanapun, tanpa tonggak pertahanan, Virgil van Dijk yang digantung perlawanan dan kecederaan melanda Joe Gomez serta Dejan Lovren, Liverpool sekurang-kurangnya tidak dibolosi meskipun terpaksa menggandingkan pemain tengah, Fabinho dan Joel Matip.
“Kami tidak impikan perlawanan sebegini. Pertemuan ini tidak akan kami kenang dalam tempoh 30 tahun. Ia hanya keputusan yang kami catat dan akan berusaha memperbaikinya.
“Kami tidak dibolosi walaupun bermain tanpa tonggak (Van Dijk) kami. Ramai yang tidak menjangkakan, kami mampu beraksi baik di benteng pertahanan. Banyak perkara baik yang berlaku, saya tidak hanyut dibuai perasaan, tetapi saya boleh terima baik perlawanan ini,” kata Klopp.
Pengendali dari Jerman itu berkata, dia yakin Bayern berasa lebih lega berbanding apa yang Liverpool rasakan ketika ini.
Bagi Bayern yang berpengalaman layak ke suku akhir sebanyak tujuh kali, mereka merasakan keputusan seri amat bernilai untuk dijadikan bekalan dalam aksi kedua nanti.
“Banyak kelab gagal menyekat daripada dibolosi di Anfield. Gaya permainan Liverpool memang bagus, namun, pasukan saya berjaya bertahan dengan penuh disiplin. Memang kami gagal jaringkan gol tetapi sekurang-kurangnya kami tidak dibolosi,” kata jurulatih Bayern, Niko Kovac. – AFP











