LAPORAN Google yang dikemas kini baru-baru ini meramalkan ekonomi digital di Malaysia akan bernilai RM85.8 bilion menjelang 2025. Sektor utama dalam pertumbuhan ini adalah industri e-dagang diikuti pelancongan dalam talian, media dan industri ride-hailing.
Kajian yang sama oleh Google juga menunjukkan sumbangan ekonomi internet kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara adalah 2.7 peratus pada 2018 dan dijangka berkembang pesat pada tahun akan datang. Jadi, bagaimana ia dapat direalisasikan?
Model kejayaan e-dagang negara asing
Jim Jarmusch, seorang pengarah filem bebas menyatakan; “Tidak ada yang asal. Ambil daripada mana saja yang bergema dengan inspirasi atau mencetuskan imaginasi anda”. Dalam erti kata lain, idea asal biasanya tercetus apabila seseorang menyusun dua atau lebih idea dan menjadikan ia sesuatu yang baharu.
Ini juga terbukti berfungsi dalam dunia komersial yang mana perniagaan tempatan berjaya mendapat keuntungan dengan menjadikan contoh model perniagaan jenama yang berjaya.
Walaupun pelbagai platform e-dagang dapat menghasilkan produk asli dan penyelesaian untuk pasaran, kadangkala mungkin lebih baik untuk platform itu yang dilihat berjaya di luar negara dibangunkan untuk pasaran tempatan. Inilah inspirasi di sebalik bisnes e-dagang seperti FashionValet (FV).
Vivy Yusof, pengasas FashionValet (FV), mendapat inspirasi untuk platform e-dagang fesyen ketika beliau terdedah kepada konsumerisme di United Kingdom. Dengan hanya beberapa klik sahaja, pengguna boleh membeli produk secara mudah dan menerima pembelian tersebut di hadapan pintu mereka dengan senang.
Bersama Fadzarudin Shah Anuar (sebelum ini teman lelakinya dan sekarang suaminya), FV dilancarkan pada 2010 dengan anggaran minimum RM100,000 daripada simpanan dan pinjaman peribadi.
Pada tahun-tahun seterusnya, FV mula menempa nama dan berjaya memperoleh dana daripada pelabur sebanyak RM310 juta setakat ini. Hari ini, FV menerima 438,000 pengunjung setiap bulan dan mempunyai empat kedai fizikal utama di seluruh negara.
Sekalipun FV dilahirkan daripada model e-dagang Barat, Vivy mengubah model perniagaannya untuk rakyat Malaysia dan kini muncul satu daripada jenama fesyen paling popular di Malaysia yang bermula daripada ruang dalam talian.
Dengan begitu banyak kejayaan sekitar Asia Tenggara dan dunia, peniaga dan usahawan boleh memerhati pemain-pemain e-dagang yang berjaya di luar negara sebagai inspirasi terhadap visi perniagaan masing-masing.
Ubah cara ambil kakitangan
Menurut kajian pasaran, bisnes e-dagang mengalami cabaran besar ketika mencari kakitangan yang sangat mahir dalam bidang teknikal seperti kejuruteraan perisian, pemasaran digital, sains data dan pemasaran produk.
Pekerja yang menggerakkan peranan teknikal ini amat mencabar kerana pertumbuhan pesat e-dagang, bermakna tidak ada bekalan tenaga kerja sebelum ini untuk ekonomi digital pada tahun-tahun sebelumnya.
Kekurangan bakat untuk kepakaran khusus e-dagang adalah isu yang dikenal pasti sebagai cabaran paling kritikal menurut Google dan Temasek. Oleh itu, amalan biasa e-dagang adalah melatih bakat asing yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan relevan.
Bagaimanapun, ini bukanlah penyelesaian jangka panjang terbaik kerana kebanyakan ekspatriat bekerja pada kontrak yang pendek dan hanya segelintir sahaja berhasrat untuk kekal dalam sesuatu pekerjaan lebih lima tahun.
Paling ideal adalah melabur dalam bakat tempatan yang lebih cenderung memberi komitmen dalam jangka masa panjang.
Penyelesaian kepada masalah ini memerlukan penyertaan yang merekrut dan tenaga kerja masa hadapan. Satu cara untuk menyelesaikan isu ini adalah dengan menukar proses pengambilan pekerja tradisional kepada proses yang baharu untuk ekonomi digital.
Satu daripada cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah memasukkan proses pemikiran semula dan mengutamakan calon yang mempunyai motivasi diri serta efisien dalam penyelesaian masalah dan konflik.
Ini bermakna meletakkan kepentingan yang lebih rendah kepada kemahiran teknikal dan pengetahuan khusus industri. Untuk itu, penggiat dalam sektor digital perlu melabur untuk melatih tenaga kerja mereka ke arah meningkatkan kemahiran teknikal dan pengetahuan.
Jeremy Chew adalah Ketua Pemasaran Kandungan di iPrice Group Malaysia https://iprice.my/











