17 pekerja asing dicekup imigresen - Utusan Malaysia

17 pekerja asing dicekup imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 20 FEB. – SEBANYAK 17 pekerja warga asing yang bekerja secara haram di sebuah tapak pembinaan perumahan berhampiran Simpang Empat, di sini ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen negeri semalam.

Dalam operasi bermula pukul 8.30 pagi itu, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki Indonesia serta masing-masing tujuh lelaki Myanmar dan Bangladesh.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, ke­semua warga asing tersebut berusia antara 21 hingga 48 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan awal mendapati me­reka telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Terdapat juga pekerja asing yang melanggar Perkara 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Tambah Zuhair, operasi ber­kenaan turut disertai 16 anggota Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), 10 anggota Pejabat Kesihatan Kota Setar, empat kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan empat lagi daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kami turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerja (JKKP).

“Kesemua mereka ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Depot Imigresen Belantik di Sik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN