KUALA SELANGOR – Seorang operator mesin wanita terpaksa menahan kesakitan kira-kira 30 minit selepas tangan kanannya tersepit dalam mesin penghancur bahan herba di sebuah kilang di Ijok, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah termasuk putus jari tengah tangan kanannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya, Azrel Izaidi Ahamad berkata, seramai 10 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.08 petang.
“Sebaik tiba, didapati tangan mangsa telah tersepit dalam mesin penghancur bahan herba dengan anggota terpaksa membuka dan meleraikan mesin berkenaan bagi mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit.
“Akibat kejadian itu, tangan kanan mangsa mengalami kecederaan parah termasuk putus jari tengah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. – K! ONLINE











