JOHOR BAHRU 20 Feb. – Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn (KPJ BDOSH) yang dibangunkan di atas tanah seluas 5.34 hektar di sini dengan kos keseluruhan lebih RM250 juta memulakan operasinya bermula semalam.
Presiden dan Pengarah Eksekutif KPJ Healthcare Bhd. (KPJ), Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, KPJ BDOSH menawarkan lima teras perkhidmatan penjagaan kesihatan iaitu perubatan ortopedik, geriatrik, onkologi, kardiologi dan pusat rawatan wanita dan kanak-kanak.
Menurutnya, KPJ BDOSH merupakan hospital pakar KPJ yang keenam di Johor dan ke-26 dalam rangkaian hospital KPJ di Malaysia, pada masa ini mempunyai sembilan doktor konsultan residen dan 23 doktor pelawat.

“Hospital ini menawarkan 12 klinik pakar yang disokong oleh perkhidmatan sokongan seperti Perkhidmatan Pengimejan Digital (DIS), Kimoterapi, Fisioterapi dan makmal,” katanya berucap sempena pembukaan KPJ BDOSH di sini semalam.
Sempena pembukaan KPJ BDOSH turut diadakan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.
Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif – Strategik KPJ, Aminuddin Dawam dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ BDOSH, Asmadi Mohd Bakri.

Amiruddin berkata, menerusi pembukaan hospital itu, beliau yakin mampu membantu kumpulan KPJ untuk meneruskan momentum bagi mengukuhkan kehadiran dan kedudukannya di wilayah selatan. – UTUSAN ONLINE











