Mat Zuki bakar beribu-ribu kasut - Utusan Malaysia

Mat Zuki bakar beribu-ribu kasut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 19 Feb. – Pekerjaan membaiki dan menjahit kasut di kaki lima bukan suatu kerjaya hina, sebaliknya ia mampu mengu­bah nasib seseorang sekiranya dilakukan secara bersungguh-sungguh dan penuh ke­tekunan.

Berpegang kepada prinsip bekerja dengan amanah demi mencari rezeki yang halal, Mat Zuki Mat Hassan, 61, sanggup berpanas dan berhujan demi menyara keluarga.

MAT ZUKI MAT HASSAN
MAT ZUKI MAT HASSAN

Dia yang kini menetap di Kampung Gondang dekat sini dan telah melakukan kerja tersebut sejak 44 tahun lalu tidak pernah patah sema­ngat meskipun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara risiko yang terpaksa dihadapi, kata Mat Zuki ialah pelanggan tidak menuntut kasut yang sudah siap dibaiki atau dijahit sedangkan dia sudah mengeluarkan modal membeli bahanuntuk membaiki kasut berkenaan.

‘‘Sepanjang saya buat kerja ini, saya terpaksa bakar beribu pasang kasut yang telah rosak akibat dimakan anai-anai selepas lebih dua tahun tidak dituntut pelanggan. Bayangkan, berapa banyak kerugian terpaksa saya tanggung, namun itu semua dugaan,’’ katanya ketika ditemui di tempatnya menjahit kasut di penjuru hadapan Masjid Sultanah Nur Zahirah di sini.

Mat Zuki yang mempunyai enam orang anak, lima daripadanya telah meninggal dunia menjalankan kerja membaiki dan menjahit kasut di lokasi itu sejak 15 tahun lalu dengan hanya menggunakan sekaki payung bagi mengelak dipanah terik matahari.

‘‘Memandangkan saya tidak mempunyai pelajaran tinggi, hanya kerja inilah yang paling sesuai dan mampu saya buat. Tapi saya tetap bangga dengan pekerjaan ini.

‘‘Apapun orang lain cakap, ia sudah sebati dengan kehidupan saya. Pada awal penglibatan kerja ini dulu, saya pernah raih pendapatan sehingga RM600 hingga RM800 sehari, tapi sekarang keadaannya amat jauh berbeza, saya hanya dapat sekitar RM700 hingga RM800 sebulan.

Dia bersyukur hasil titik peluh sepanjang melakukan kerja tersebut, dia dapat membina sebuah rumah, selain berpeluang membeli kereta.

‘‘Setiap kerja kalau dilakukan bersungguh-sungguh, akan membawa kejayaan,’’ jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×