MINGGU ini dan beberapa minggu mendatang nampaknya tidak ada isu yang lebih menarik melainkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih bakal mewarnai semua media utama termasuklah media sosial.
Seperti mana PRK Cameron Highlands, semua orang akan totok tertumpu PRK Semenyih, seolah-olah politik Malaysia bakal berubah sekelip mata jika parti tertentu menang.
Memang benar ia bakal mengubah serta membentuk persepsi siapa yang bakal mendominasi politik tanah air selepas ini terutama dalam segmen politik Melayu/Islam.
Namun tetap Pakatan Harapan (PH) yang memerintah untuk lima tahun lagi kecuali betul ada gerakan menyingkir Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad oleh dua parti sekutu sendiri dalam PH sendiri.
Namun cerita tentang usaha penyingkiran itu kita kena tunggulah dalam seminggu dua ini. Memang menarik tetapi tak cukup “ranum” lagi.
Maka untuk minggu ini saya ingin mengulas kenyataan saudara Hishamuddin Rais tentang wartawan bodek era Malaysia Baharu, baru-baru ini.
Saya secara jelas melihat era Malaysia Baharu ini berlaku perubahan tetapi tidak cukup jika dibandingkan ketika era kerajaan sebelum ini dalam sudut kebebasan media. Namun perlu juga dipuji ia adalah lebih baik berbanding sebelum ini.
Saya bukan menyatakan tidak berubah langsung tetapi masih banyak kelompongan yang perlu dilakukan jika PH benar-benar mahu mengotakan janji supaya media di negara ini benar-benar berubah.
Memang jika dilihat televisyen dan akhbar kini menyiar laporan kedua-dua parti bertanding terutama sewaktu pilihan raya.
Namun kecenderungan untuk memihak adalah jelas kepada pihak kerajaan yang memerintah. Itu adalah sesuatu yang biasa dan tidak menghairankan.
Kalau dahulu langsung tidak ada coverage jika melibatkan pembangkang. Kalau ada pun hanya disiarkan sisi yang buruk sahaja, tidak lebih.
Namun kita mengharapkan lebih baik lagi kerana walaupun ada laporan mengenai pembangkang namun akhirnya hanya sekadar ada dan banyak kali ia agak bias dan jelas berpihak.
Kita tidak berharap untuk kerajaan benar-benar telus dan membenarkan kebebasan bersuara melibatkan media secara total kerana kita faham ia akan merugikan kerajaan memerintah.
Tetapi diharapkan satu tata kelola yang jelas perlu dilakukan sebagai satu garis panduan kepada pengamal media. Ini penting supaya bak kata saudara Hishamuddin Rais, kita tidak mahu pembodek begitu menguasai jati diri seseorang wartawan.
Rakyat berharap supaya dalam laporan disediakan kita tidak mahu mereka keterlaluan menyatakan sokongan kepada parti disukai sama ada PH atau Barisan Nasional (BN). Namun parti yang mana mahu disokong itu adalah hak mereka.
Mencari, menyiar dan melapor kebenaran haruslah diletakkan di hadapan sekali kerana kewartawanan itu sendiri adalah soal perjuangan.
Kecenderungan kepada parti tertentu sekali sekala dalam laporan mungkin biasa tetapi jangan dibuat “amalan biasa” kerana ia merugikan semua pihak terutama masyarakat terbanyak.
Saya bersetuju dengan Hishamuddin Rais bahawa soalan-soalan yang perlu keluar dari mulut wartawan perlu jelas tidak membodek, tidak berpihak atau seolah-olah menjadi ejen kepada parti-parti politik tertentu.
Sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam bidang media dan kewartawanan inilah yang menjadi punca kenapa nama Utusan Melayu dan akhbar keluarannya begitu merosot penerimaannya pada beberapa ketika.
Dan masalah ini bukan sahaja ditanggung Utusan Melayu, cuba tanya beberapa media lain yang terkait parti politik sebelum ini turut menerima tempiasnya sehingga menjejas kredibiliti serta bisnes mereka.
Namun tidak perlulah hanya kerana bertukar kerajaan maka suara kebanyakan akhbar dan berita televisyen pun bertukar sama.
Seolah-olah tidak berprinsip dan hanya mementingkan ringgit dan sen semata-mata. Perjuangan tanpa prinsip tidak ada nilainya. Begitu juga dalam perniagaan media, prinsip dan perjuangan adalah seiring namun tidak ada makna jika tidak buat untung.
Namun keuntungan bukanlah soal utama kini apatah lagi media sosial begitu dominan sehingga menenggelam media tradisional. Tetapi jalan perlu dicari bagi membuat untung dan menerus kesinambungan.
Cumanya tidak dapat tidak, kita sukar mengelak dari membicarakan tentang Utusan Melayu. Apatah lagi dengan terjualnya pegangan UMNO di dalam syarikat itu sedikit sebanyak turut membersihkan nama akhbar itu dari “luka lama” akibat kalah perang.
Utusan Melayu itu jenamanya sudah cukup kuat di pasaran tanpa perlu diperkenalkan lagi. Namun sebagai akhbar perjuangan nama gah sahaja tidak cukup selain berubah kembali mengikut kehendak rakyat.
Betullah kata Hishamuddin, sejarah membuktikan Utusan Melayu telah memainkan peranan penting dalam menggaris dan melaung ombak kemerdekaan kepada bani Melayu.
Maka kepada bani Melayu, akhbar ini akan kekal menjadi hamba mereka, dan tidak lagi perlu membodek UMNO atau parti politik lain, apatah lagi tunduk kepada Tun Dr. Mahathir atau pun Anwar Ibrahim. Jauh sekali membodek Najib Razak, Azmin Ali mahupun Lim Guan Eng atau Mohamad Sabu.
Waima apapun adab dan kesusilaan kita sebagai orang Melayu masih tetap perlu dipelihara bang. Tak bolehlah dikorban semua hingga hilang identiti kita sebagai Melayu.
Yang penting perjuangan Utusan Melayu perlu digemilangkan dan orang Melayu/Islam tidak perlu bimbang kerana mereka inilah tuannya, selagi hayat dikandung badan.











