KITA hampir memasuki suku tahun pertama 2019, namun pelbagai persoalan terus menjadi perbincangan ahli-ahli ekonomi di seluruh dunia.
Ekonomi dunia dijangka menghadapi cabaran agak sukar berikutan isu-isu perdagangan antarabangsa yang masih belum menemui jalan penyelesaiannya dan dipercayai memberi kesan kepada ringgit dan pasaran saham secara amnya.
Kedudukan Ringgit dan pasaran saham masih lagi menjadi teka-teki dalam kalangan ahli ekonomi.
Menurut kajian yang dimuatkan dalam Journal of Asia Pacific Economy, liberalisasi perdagangan dan kewangan serta peningkatan kepelbagaian antarabangsa, menyebabkan kedua-dua pasaran saham dan kadar pertukaran menjadi semakin saling bergantung antara satu sama lain.
Nadeyya Rahmat dari Majalah Labur juga telah menjelaskan hubungan Ringgit dan pasaran saham di Malaysia khususnya.
Menurut beliau, hubungan di antara matawang Ringgit Malaysia (RM) dan harga saham di Bursa Malaysia saling berkait rapat.
Jika Ringgit mengukuh berbanding Dolar Amerika, saham berorientasi eksport akan melemah.
Walaupun eksport negara akan meningkatkan ekonomi, nilai dagangan akan menurun kerana kelemahan Dolar Amerika.
Maka keuntungan syarikat eksport akan menurun dan memberi kesan kepada pendapatan dan keuntungan bersih syarikat.
Sebaliknya jika Ringgit melemah berbanding Dolar Amerika, saham berorientasikan import akan melemah. Ini disebabkan kos bahan diimport akan meningkat, menyebabkan keuntungan syarikat menurun.
Bagi pelabur dan pendagang saham pula, mereka masih lagi berhati-hati dalam menghadapi cabaran tahun 2019.
Ini memandangkan sepanjang 2018, pasaran saham berada dalam pasaran beruang (bear market) yang tidak menggembirakan pelabur dan pedagang saham.
TRUMP DAN PASARAN SAHAM
Semenjak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS), pasaran saham menjadi tidak menentu berdasarkan dasar-dasar atau tindakan drastik yang dilakukan oleh Trump.
Keadaan ekonomi tidaklah jatuh dengan begitu drastik, namun pasaran saham agak panik apabila tindakan Trump mencemaskan kebanyakan pelabur dan pedagang saham.
Di New York, Wall Street mencatatkan kejatuhan saham hampir 20 % daripada paras tertinggi yang dicatatkan dengan nilai pasaran jatuh sebanyak 30.4 % sepanjang 2018 dan penyusutan ini antara paling besar dalam sejarah AS dalam tempoh 2016 – 2018.
Bermula dengan Brexit, Perang dagangan AS – China, Pelan Reformasi Cukai Trump, Krisis Lira, Pergerakan Harga Minyak Mentah.
Ia kemudian berlanjutan kepada isu ketegangan kaum, peletakan jawatan Penasihat Ekonomi White House, Gary Cohn dan lain-lain lagi antara penyebab ketindaktentuan pasaran global.
PERANG DAGANGAN AS-SYARIKAT CHINA
Tindakan Trump memberi ancaman ke atas China terutama dari sudut perang dagangan telah menyebabkan keadaan yang buruk terhadap ekonomi global, mengganggu rantaian bekalan (supply chains) dan menggugat pasaran saham Asia dan dunia.
AS telah merendahkan kadar tukaran asing terhadap China dan mengenakan tarif import terhadap China di mana industri yang membuat barangan mereka di negara itu akan dikenakan tarif.
Pengeksport barangan pengguna seperti Li & Fung Ltd. di Hong Kong misalannya telah mengalami kesan yang teruk apabila 70% nilai pasarannya ‘hilang’ pada Mei tahun lepas.
Pelabur di China paling terkesan dengan kejatuhan saham di rantau Asia apabila Indeks Komposit Shanghai kini berada 25% di bawah nilai dicatatkan tahun lepas.
Keadaan ini juga telah menyebabkan kejatuhan pelaburan dalam bidang teknologi apabila unit saham Facebook, Apple, Amazon, Netflix & Alphabet Google telah merekodkan penurunan.
Saham Apple dan Amazon selepas pertengahan tahun 2018 jatuh sebanyak 30%. Perang dagangan AS-China telah menyebabkan AS$2.4 trilion nilai pasaran saham jatuh.
Keadaan ini memberi kesan kepada Asia apabila saham Tencent Holdings telah jatuh sebanyak 47 %.
KETIDAKTENTUAN PASARAN ASIA, MALAYSIA
Kelangsungan dari perang dagangan AS-China ini, hampir kesemua pasaran saham Asia menurun pada 2018 yang mana Hang Seng turun sebanyak 26%, Shanghai turun 30 %, Kerachi turun 21%, Vietnam 26 % dan lain-lain negara juga mencatat nilai penurunan melebihi 20%.
Menurut Pengarah Eksekutif South Centre yang berpusat di Geneva, Martin Khor Kok Peng, kajian yang dijalankan oleh Pictel Asset Management (PCM) ke atas 45 negara menunjukkan Malaysia antara enam negara paling berisiko sekiranya perang dagang ini berterusan.
Kira-kira 60% eksport Malaysia bergantung kepada rantaian bekalan sejagat, dan kira-kira 48 % di eksport ke China dan 40 % ke AS.
Selain tindakan pasaran global yang tidak menentu, pasaran saham di Malaysia bertindak balas dengan keadaan geopolitik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Keadaan pasaran saham di Malaysia menjadi kebimbangan pelabur dan pedagang apabila FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) terus turun ke paras terendah iaitu 1,1819.28 mata dan ringgit juga melemah ke paras 4.00 berbanding dolar Amerika selepas PRU-14.
Keadaan pasaran saham dan kedudukan ringgit di Malaysia terus dibelenggu dengan ketidaktentuan apabila Menteri Kewangan mendedahkan hutang negara mencecah RM 1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding KDNK pada tahun 2018.
Tekanan penjualan ringgit selepas PRU-14 menunjukkan pelabur-pelabur asing mengambil langkah berhati- hati dalam mengimbangi portfolio mereka.
SENTIMEN POSITIF 2019
Keputusan Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah pada kadar 2.25% pada penghujung Januari 2019 menyaksikan Ringgit mencecah nilai tertinggi berbanding Dolar Amerika, catatan terbaik bagi lima bulan terakhir ini.
Hal ini menampakkan kedudukan Ringgit yang dijangka lebih baik bagi mencatatkan nilai yang lebih hingga bagi tahun 2019 ini.
Selain itu, berlaku sedikit lonjakan kepada pasaran dunia berikutan data ekonomi AS yang menjadi tumpuan dunia apabila data NFP (Non-Farm Payroll) mengejutkan pasaran apabila data jumlah penambahan pekerjaan bukan perladangan diumumkan pada 4 Januari 2019.
Data Jabatan Buruh AS juga telah diumumkan berkaitan data purata gaji per jam dan data kadar pengangguran juga memberikan sedikit kesan positif kepada pasaran saham.
Selain itu, pelonggaran Polisi Monetari AS yang mengekalkan kadar faedah yang rendah diumumkan oleh Jerome Powell, Pengerusi Bank Pusat AS bagi menggalakkan aktiviti pelaburan swasta dilihat memberi sedikit pantulan kepada saham Wall Street.
Penganalisis ekonomi dan saham mengharapkan kesan yang lebih menyeluruh kepada pasaran global jika perang dagangan AS-China dapat diselesaikan.
Rundingan Trump dan Xi Jinping di Argentina November lalu menampakkan bibit-bibit perang ini akan ditamatkan dan rundingan AS-China akan memasuki fasa seterusnya.
Hal ini diharapkan mampu untuk memberi kesan yang lebih positif kepada kadaran tukaran asing dan pasaran saham.
Namun sehingga hari ini, Wall Street masih lagi ditutup tidak menentu begitu juga pasaran Eropah mahupun Asia. Pasaran beruang masih berlaku dan belum ada kepastian yang jelas untuk ditamatkan!
PENULIS ialah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Johor.











