ADAKAH orang Melayu sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana dasar dan tindakannya yang tidak menampakkan pembelaan kepada orang Melayu dan Islam?
Kelihatannya PH dalam keadaan terdesak menjelang pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih 2 Mac ini.
Kalau ada kalangan kita hari ini ke majlis-majlis kenduri kesyukuran di kawasan bandar, pinggir bandar dan kampung sambil berborak bawah khemah depan kediaman tuan rumah, pasti sebilangannya buka cerita “apa sudah jadi dengan PH ini.”
Tidak pasti sama ada mereka ini pengundi atas pagar, penyokong PH atau Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 tempoh hari. Tapi, itulah komen nada yang sama terpacul daripada mulut mereka.
Berikut pengamatan saya terhadap situasi politik tanah air kebelakangan ini:
KERJASAMA UMNO-PAS
Pelbagai program anjuran UMNO-Pas yang dibuat sejak beberapa bulan lepas bukan berupa ‘wayang kulit’.
Kesepakatan dua parti terbesar orang Melayu itu sebenarnya bermula dari Himpunan Melayu Bangkit di pekan Kampung Gajah, Pasir Salak pada 1 September tahun lalu yang diserlah dalam kempen PRK DUN Seri Setia ditandingi calon Pas, 8 September.
Ini kemudian disusuli Himpunan Perpaduan Ummah di kawasan Parlimen Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada 17 November, sebelum gelombang kebangkitan itu meluas melibatkan semua lapisan masyarakat Melayu, orang muda termasuklah orang masjid.
Momentum kebangkitan rakyat ini terserlah dalam #DaulatHimpunan812 pada 8 Disember tahun lalu yang berjaya mengumpul ratusan ribu orang di Dataran Merdeka.
Sungguhpun fokus himpunan pada bantahan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tetapi sudah terang lagi bersuluh menyaksikan kebangkitan orang Melayu untuk mempertahan hak-hak mereka dari ancaman pihak tertentu.
Ada mendakwa walaupun ada Melayu dalam PH, tapi pembawaan sebilangan mereka ‘lebih dari DAP’. Siapa yang sanggup berasak-asak berdiri dan duduk di jalanan termasuk hadapan pusat beli-belah Sogo tempoh hari?
SIAPA DESPERADO?
Adakah igauan terhadap perpaduan ummah UMNO-Pas ini menyebabkan PH berasa tergugat? Ini sehinggakan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa membuat kenyataan bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO di Semenyih berdasarkan pertemuannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Namun 24 jam selepas mengeluarkan kenyataan itu, beberapa pemimpin kanan Pas termasuklah yang turut sama dalam pertemuan dengan Dr. Mahathir iaitu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan tampil hadir memberi sokongan kepada calon BN, Zakaria Hanafi di pusat penamaan calon PRK Semenyih.
Adakah kenyataan ‘Pas tidak menyokong UMNO’ berupa psywar (perang saraf) untuk memecahbelahkan perpaduan UMNO-Pas, sekali gus mencetuskan keraguan dalam kalangan pengundi Melayu?
Pas dalam mesyuaratnya di Rusila, Terengganu yang diketuai Abdul Hadi – dua hari selepas pertemuannya dengan Dr. Mahathir – bagaimanapun menafikan tidak akan menyokong UMNO di Semenyih.
Kata Takiyuddin: “Tidak ada apa-apa perakuan atau surat bertulis berkaitan PRK Semenyih, hanya dibincangkan secara lisan antara Tun Dr. Mahathir dan Presiden Pas.” Siapa bohong siapa?
IMPAK CAMERON HIGHLANDS
Impak kerjasama UMNO-Pas begitu terserlah semasa PRK Cameron Highlands 26 Januari lalu.
Kehadiran jentera Pas bukan setakat membantu memenangkan calon BN, tetapi sampai sanggup membawa pengundi mereka ke pusat pengundian, buka barung serta pastikan undi BN.
Di PRK Sungai Kandis 4 Ogos 2018 terlalu awal untuk melihat keakraban ini hingga pemimpin masing-masing tak berani duduk sepentas.
Kerjasama UMNO-Pas di Cameron Highlands terbukti – DAP dibadai teruk dari cuma kalah 597 undi (PRU-14) kepada 3,238 undi majoriti diraih BN.
FENOMENA #MALUAPABOSSKU
Yang menambah hangat lagi, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus turut membawa fenomena tagline #maluapabossku dalam kuliah agama beliau.
Fenomena baharu yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak melalui tagline ini lebih berkisar kepada memperjuangkan isu-isu berkepentingan rakyat.
Melihat begitu ramai orang berkerumun berhimpit-himpit mahu bertemu Najib di pasar raya Tesco Semenyih 13 Februari lalu, apa yang kita boleh simpulkan? Suatu gelombang kebangkitan? Perkara begini bukan boleh dipaksa-paksa.
Adakah kerana populariti Najib yang meningkat kebelakangan ini menyebabkan Setiausaha Khas Presiden PKR, R. Suresh Kumar kelmarin terpaksa mengeluarkan kenyataan kepada Malaysiakini mengatakan “Najib umpama kereta antik, orang suka tengok tapi tak beli”? Dan ditambah dengan tempelak pendakwah bebas Abu Syafiq melalui klip video di Facebook bahawa penggunaan tagline itu sebagai haram.
ASAL JANGAN TAK BAGI’?
Adakah kegagalan PH memenuhi janji-janji besar mereka dalam Manifesto PRU-14 menandakan parti-parti sekutunya tidak boleh duduk semeja mengatur rancangan yang berkesan?
Adakah apa dilakukan sembilan bulan ini lebih pada ‘asal jangan tak bagi’ apabila bantuan insentif kepada petani, nelayan, Felda, Felcra selain Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diubah kepada Bantuan Sara Hidup ada yang dipotong atau dikurangkan?
KEDUDUKAN ‘PM KE-8’
Dengan isu terbaharu penerimaan tujuh bekas ahli Parlimen UMNO baru-baru ini, adakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang mengumpul kekuatan politik supaya mempunyai ‘kuasa cukup kuat’ melakukan sesuatu tindakan dalam PH?
Adakah ini juga menandakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah nampak kemungkinan ditolak sebagai ‘PM ke-8’?
Ikut pepatah Melayu “kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang”. Ditambah lagi kemuncaknya apabila Dr. Mahathir memberi amaran kalau ada parti-parti dalam PH membelot terhadapnya dan tidak setia kepada negara, beliau tidak teragak-agak bertukar kepada parti lain.
Apa maksudnya?











