KOTA BHARU – Akibat tidak mahu dihantar ke sekolah pondok, Seorang kanak-kanak lelaki orang kelainan upaya (OKU) kategori lembam ‘menghilangkan’ diri sebelum dia ditemui merayau-rayau seorang diri pasar Mulong, Nilam Puri, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.55 pagi itu, kanak-kanak berkenaan, Nik Hanzalah Nik Zamri, 10, ditemui oleh orang awam sebelum dibawa ke Balai Polis Nilam Puri bagi tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kanak-kanak lelaki itu ditemui orang awam dalam keadaan selamat.
“Kanak-kanak itu memaklumkan dia bersama ayahnya singgah di masjid pada malam kejadian dan tertidur selepas solat. Apabila terjaga pada waktu malam, kanak-kanak itu keluar dari masjid.
“Dia berjalan kaki sendirian sehingga ditemui di kawasan pasar. Mangsa memberitahu tidak mencari ayahnya ketika keluar dari masjid kerana tidak mahu dihantar ke sekolah pondok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya berjaya mengesan keluarga kanak-kanak itu dan menghantarnya kepada bapa saudaranya di Kampung Padang Lati, Jelawat, Bachok,.
Penemuan kanak-kanak itu menjadi tular selepas orang awam memuat naik ke laman sosial Facebook sejak pagi tadi.
Setakat ini tiada laporan polis yang dibuat daripada keluarga kanak-kanak itu. – K! ONLINE











