PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menunggu perakuan keputusan daripada Pendaftar Mahkamah Persekutuan bagi mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, ia bertujuan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.
Jelasnya, SPR mengambil maklum dan akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Seremban pada 16 November 2018.
“Mahkamah itu telah mengisytiharkan bahawa kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu sebagai terbatal dan tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan untuk membatalkan kemenangan Mohamad yang juga memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO, bagi kerusi DUN Rantau pada PRU-14 yang lalu.
Keputusan itu dilakukan selepas panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menolak rayuan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau.
Sehubungan dengan itu, PRK DUN Rantau perlu diadakan dalam tempoh 30 hari.
Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya Khas di Seremban memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau batal dan tidak sah.
Ini berikutan petisyen difailkan calon Pakatan Harapan, Dr. S. Streram pada 23 Mei untuk mencabar pengisytiharan kemenangan Mohamad oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Streram memfailkan petisyen itu selepas beliau tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR. – K! ONLINE











