Aksi JDT II dan Perlis disiasat - Utusan Malaysia

Aksi JDT II dan Perlis disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAK seperti tiada apa-apa yang berlaku, namun aksi Liga Premier antara Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Perlis malam kelmarin kini mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) apabila mahu menjalankan siasatan selepas pertemuan tersebut disyaki mempunyai unsur-unsur mengatur perlawanan.

Perlawanan yang memihak 2-1 kepada JDT II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang itu dikaitkan dengan gejala bookie ekoran insiden gol kedua pasukan Harimau Selatan pada minit ke-90 yang berpunca daripada hantaran seorang pemain pertahanan Perlis yang lemah ke penjaga golnya.

Gol mudah hasil kesilapan pertahanan pasukan tuan rumah itu telah mencetuskan spekulasi dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan di media sosial yang mengaitkan barisan pemain pasukan Perlis dengan sengaja ‘memberi kekalahan’ kepada pasukan sendiri sebagai tindakan protes terhadap isu tunggakan gaji mereka yang masih belum diselesaikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengakui perkara tersebut dalam pemerhatian pihaknya dan mengarahkan bahagian integriti badan induk bola sepak negara itu me­lakukan siasatan selepas me­ngadakan perbincangan bersama pihak MFL.

“Berkenaan perkara tersebut (unsur bookie), saya telah bincang dengan Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam semalam (kelmarin) dan pihaknya berjanji akan mengambil tindakan susulan.

“Malah saya juga telah maklumkan kepada bahagian integriti (FAM) untuk semak semula insiden yang berlaku tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) di Shah Alam semalam.

Sementara itu, MPFL yang bakal berlangsung pada April depan merupakan liga futsal profesional negara yang pertama kali diperkenalkan FAM dalam usaha untuk meningkatkan sukan futsal di peringkat kompetitif.

Aspek perlesenan kelab futsal turut akan diperkenalkan pada edisi pertama bagi memastikan struktur organisasinya lebih kukuh dalam pelbagai sudut, termasuk dalam segi kewangan kerana ia amat penting untuk memberi kelayakan buat mana-mana kelab dari Malaysia beraksi di saingan futsal AFC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini