KUALA LUMPUR 17 Feb. – Pasukan Terengganu Inc., Terengganu Cycling Team (TSG) tetap mahu menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 sekalipun perlumbaan berprestij itu ditunda ke tarikh baharu 6 hingga 13 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farhan Abdul Wahab berkata, ini kerana misi mereka dalam edisi ke-25 itu adalah ingin mempertahankan jersi kuning yang dimenangi mereka menerusi pelumba Rusia, Ovechkin Artem.
Bagaimanapun ujarnya, dia agak terkilan apabila LTdL 2019 terpaksa ditunda kerana menyebabkan TSG terlepas peluang untuk menyertai Tour de Tochigi, Jepun pada 22-24 Mac ini.
“Kami sebenarnya terpaksa menolak Tour de Tochigi kerana LTdL 2019 yang sebelum ini dijadualkan berlangsung 24-31 Mac. Selepas dapat tahu LTdL ditunda, kami cuba mohon balik untuk berlumba di Jepun, tapi malangnya tak dapat.
“Mereka bagi tahu, mereka dah gantikan kami dengan pasukan lain. Jadi bermakna, kita terlepas.
“Untuk tarikh baharu LTdL ini, ada dua lagi perlumbaan yang berdekatan dengannya pada bulan April. Tour de Thailand (1-6 April) dan Tour de Iskandar (17-21 April).
“Antara tiga perlumbaan itu, kami utamakan LTdL, sebab kami mahu kekalkan jersi kuning,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Buat masa ini status perlumbaan bertaraf 2.0 hors class, LTdL masih terumbang-ambing dan belum dapat dipastikan kesahihan penganjurannya gara-gara penundaan tarikh di saat akhir atas permintaan Kabinet.











