KUALA NERUS 17 Feb. – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan beliau sengaja mencetuskan provokasi dengan melewati kumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) yang berkumpul berhampiran Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang semasa proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, semalam.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata, laluan digunakannya untuk ke kenderaan bukan di kawasan penyokong parti lawan di samping menegaskan rakaman video dimuat naik pengendali laman blog, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris telah disunting dan tidak menggambarkan keseluruhan kejadian.

Bagaimanapun, Syed Saddiq menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan dan tidak mahu mengulas lanjut mengenai dakwaan Wan Muhammad Azri ‘memeluk’ beliau semalam bukan untuk mengasari sebaliknya, membantu melindunginya.
“Saya harap pihak polis akan panggil beberapa sukarelawan dan polis yang ada di sana juga. Boleh tengok video yang ditunjuk itu, masa kita cepat-cepat lari ke depan, polis pun dah ada kawal tetapi dia lari kejar dari belakang, pergi ke kawasan parit dan terus lompat. Mula-mula okay tetapi dia sunting dan tak tunjuk bahagian lain.
“Tentang (dakwaan dia tidak cekak leher saya), saya sudah buat laporan (semalam) dan biar polis lakukan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Townhall – Aspirasi Buat Belia di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini hari ini.
Syed Saddiq membuat laporan di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya, kira-kira pukul 2 petang semalam berhubung dakwaan diserang semasa menghadiri proses penamaan calon itu.
Kata beliau, dalam kejadian tersebut, dirinya telah diserang oleh Wan Muhammad Azri yang didakwa telah mencekak lehernya dengan kuat dan mengugut supaya keluar dari kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas saman fitnah yang akan difailkan Wan Muhammad Azri terhadapnya dalam masa terdekat, Syed Saddiq berkata, laporan polis telah dibuat dan pihaknya hanya menunggu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.











