BUTTERWORTH 17 Feb. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa sering berdolak-dalik dalam pelbagai perkara termasuk dalam isu mengenai sokongan parti itu terhadap UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak hairan sekiranya kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan isu tersebut benar kerana Abdul Hadi sering bersikap sedemikian sebelum ini.
“Dakwaan Pas tidak akan sokong UMNO di PRK DUN Semenyih telah dibuat oleh Dr. Mahathir tetapi Abdul Hadi masih tidak memberi apa-apa kenyataan lagi, kita tunggu beliau (Abdul Hadi) untuk bagi jawapan.
“Tetapi sekiranya benar, saya tidak akan berasa hairan sebab banyak kali beliau berdolak-dalik, ini bukan kali pertama,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan Dr. Mahathir yang mendakwa Pas tidak akan menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih berdasarkan pertemuannya dengan Abdul Hadi kelmarin.
Dr. Mahathir mendakwa, terdapat pengakuan secara bertulis bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO. – UTUSAN ONLINE











