BACHOK – Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) ditunda ke tarikh baharu bagi mengelakkan pertindihan dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) yang dijadual pada penghujung bulan depan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengesahkan perkara itu berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam.
“Sebab utama kami tak nak ada dua program antarabangsa yang bertindih di Langkawi dan (Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir (Mohamad) pandang serius kedua-dua program ini. LTdL dan LIMA’19 merupakan buah fikirannya dan mahu ia dilaksanakan sebaik mungkin.
“Kami nak pastikan tarikan di peringkat antarabangsa ke Langkawi dapat dibahagikan kepada dua fasa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi Townhall bersama golongan muda di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok di sini hari ini.
Syed Saddiq berkata, kerajaan juga bercadang untuk mengembalikan LIMA’19 ke zaman kegemilangannya dengan mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa. – Bernama










