KETUA Jurulatih Pahang, Dollah Salleh optimis skuad Tok Gajah mampu beraksi tanpa sebarang masalah melibatkan isu kecergasan pemain pada musim ini berbanding pelbagai kesulitan yang diharungi sepanjang tahun lalu.
Menurut Dollah, pasukannya terpaksa berdepan masalah kecederaan yang dialami bekas pemain import termasuk Patrick Cruz serta Forkey Doe yang memainkan peranan utama di bahagian serangan musim lalu.
Bagaimanapun, Dollah lebih optimis musim ini dan berharap kehadiran Dickson Nwakaeme dan Jose Eduardo mampu memberi impak tinggi terhadap pasukan tanpa sebarang masalah sehingga penghujung musim.
“Kalau dibandingkan tahun lepas, kita menghadapi banyak kesukaran terutama sekali masalah kecederaan yang dialami Forkey Doe pada awal musim. Patrick Cruz juga kerap mengalami masalah kecederaan.
“Kesannya, kita hanya menggunakan khidmat pemain tempatan. Bukan mereka tidak bagus, tetapi tampak ada sedikit kekurangan pada jentera serangan.
“Tahun ini, Pahang ada Nwakaeme dan Eduardo yang tampak lebih mantap pada jentera serangan berbanding tahun lepas. Saya harap, impak dihasilkan pemain-pemain ini akan berterusan sehingga musim tamat,” katanya.
Menjelang aksi menentang Melaka United pada Sabtu ini, Pahang dijangka konsisten membariskan Nwakaeme, Eduardo dan Herold Guolon selaku penggerak jentera pemusnah gawang tuan rumah di Stadium Hang Jebat.











