HOUSTON, Texas – Seorang lelaki yang memecah masuk ke dalam sebuah rumah kosong untuk menghisap ganja terkejut selepas menemui seekor harimau terkurung di dalam sangkar di dalam premis itu di kawasan kejiranan Harrisburg/Manchester di sini baru-baru ini.
Dia kemudiannya menghubungi pihak berkuasa bandar itu untuk memaklumkan mengenai penemuan itu. Satu pasukan anggota daripada Unit Kekejaman Haiwan Ternakan dan polis yang tiba di lokasi turut tergamam melihat haiwan pemangsa seberat 158 kilogram itu.
“Harimau betina itu dikurung dalam sangkar besi kecil yang tidak berkunci dan hanya diikat menggunakan tali nilon serta alat pemutar skru. Ia dalam keadaan tidak sepatutnya dan kami perlu mengeluarkan haiwan itu,” kata Lara Cottingham dari Jabatan Pentadbiran dan Hal Ehwal Perundangan Bandar Raya Houston.
Pegawai kebajikan haiwan meminta pihak polis Houston mendapatkan waran untuk urusan menembak ubat pelali seterusnya memindahkan harimau tersebut ke sebuah tempat perlindungan haiwan buat sementara waktu sebelum dipindahkan semula ke satu kawasan kekal.
Dalam perkembangan sama, Zoo Houston mengesahkan, pihaknya tidak dapat menerima haiwan itu kerana mempunyai dua ekor harimau Malaya serta tidak mempunyai ruangan yang mencukupi. – Agensi











