JERANTUT 13 Feb. – Seorang bekas tentera mengharapkan sumbangan orang ramai bagi menampung kos perbelanjaan harian, membeli kaki palsu, kerusi roda dan rawatan angin ahmar kronik yang dialaminya sejak 10 tahun lalu.
Jaafar Md. Akib, 62, kini tidak mampu bergerak kerana kaki kiri sehingga pahanya dipotong akibat penyakit barah tulang yang dialaminya sejak 17 tahun lalu dan hanya mengesot ke tempat mandi serta membuang air.
Bagai jatuh ditimpa tangga, warga emas itu turut diserang penyakit angin ahmar sejak 10 tahun lalu mengakibatkan lumpuh anggota badan bahagian kiri.

Bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat di Markas Staff, 2 Briged Ipoh, Perak pada 1979 hingga 1995 tersebut dibantu oleh isterinya, Maimunah Ismail, 54, sekiranya ingin bergerak termasuk ke hospital.
Jaafar berkata, isterinya cuma memperoleh pendapatan antara RM40 hingga RM60 sehari hasil menjual pisang goreng dan kuih-muih.
“Tolonglah bantu, saya sangat memerlukan kaki palsu, kerusi roda dan belanja rawatan perubatan angin ahmar,” katanya ketika ditemui di rumah saudara lelakinya di Felda Kota Gelanggi 2, di sini semalam.
Jaafar yang tinggal Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Tawai, Gerik, Perak berkata, selain pendapatan isterinya, kebajikannya ditampung menerusi ihsan anak yang cuma berpendapatan rendah hasil kerja kampung malah mereka juga mempunyai tanggungan ramai.
“Saya cuma menikmati bantuan bulanan sara hidup skim veteran tentera sebanyak RM300 dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai RM500. Malangnya bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM200 sebelum ini ditarik balik berikutan usia melebihi 60 tahun,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyumbang menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Jaafar bernombor 08100-29-88785641-2.











