HULU LANGAT 13 Feb. – Berbaki tiga hari menjelang hari penamaaan calon pada Sabtu ini, bahang kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih masih belum dirasakan.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Semenyih hari ini mendapati belum ada lagi suasana keterujaan dalam kalangan penduduk sekitar malah masih ada yang tidak mengetahui bilakah tarikh sebenar PRK DUN Semenyih akan berlangsung.
Selain itu, masih belum banyak kelihatan kain-kain pemidang serta bendera parti dipasang di kawasan-kawasan tumpuan penduduk terutama di pekan Semenyih.
Dalam pada itu, tinjauan juga mendapati, hanya terdapat sebuah hotel sahaja yang beroperasi di pekan Semenyih.
Seorang pekerja di Soho Hotel, Semenyih, V. Vikneswarren Velu, 23, berkata, hanya hotel itu sahaja yang masih beroperasi di pekan Semenyih setelah sebuah lagi hotel yang terletak berdekatan dengan Semenyih Sentral tidak lagi beroperasi sejak akhir tahun lalu.
Katanya, oleh sebab itu, menjelang tarikh berlangsungnya PRK DUN Semenyih, hotel tempatnya bekerja itu yang menawarkan kira-kira 50 bilik telah habis ditempah.
“Bermula 16 Februari ini sehingga 3 Mac depan, kesemua bilik di hotel ini telah habis ditempah. Sehingga hari ini masih ada yang menelefon bertanyakan kekosongan bilik di hotel ini.
“Sebenarnya terdapat sebuah hotel murah tidak jauh dari sini namun saya rasa hotel itu tidak mampu menampung jumlah penginap selain keadaan hotel itu juga tidak begitu selesa,” katanya.
Dalam pada itu, kira-kira tujuh kilometer dari pekan Semenyih iaitu di Bandar Teknologi Kajang terdapat sebuah hotel yang difahamkan baharu dibuka pada November tahun lalu.
Menurut salah seorang pekerja Crest Wave Boutique Hotel, masih terdapat kekosongan bilik di hotel berkenaan pada tarikh di antara 16 Februari hingga 3 Mac depan.
“Masih terdapat beberapa kekosongan bilik dan kami juga telah menerima banyak panggilan yang bertanyakan hal berkenaan. Sehingga kini kami banyak menerima tempahan bilik daripada pelanggan terutamanya pada tarikh berlangsungnya PRK DUN Semenyih,” katanya yang enggan dikenali. – UTUSAN ONLINE











