KUALA LUMPUR 1 Feb. – Masyarakat berbilang kaum di negara ini harus mengambil kesempatan mengeratkan hubungan sesama sendiri dengan mengunjungi rumah rakan-rakan yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Menurut Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, kunjungan itu dapat membantu kaum lain mengenali budaya dan cara hidup masyarakat Tionghua.
“Sejak puluhan dekad, kita telah menjalani kehidupan bersama dalam keadaan aman damai, saling menghormati dan bertoleransi dalam sebuah negara berbilang kaum.
“Mari kita teruskan tradisi kunjung-mengunjung semasa perayaan ini kerana ia dapat membantu mengukuhkan interaksi dan pemahaman yang lebih baik dalam kalangan rakyat pelbagai kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan buah mandarin kepada kakitangan Kumpulan Utusan di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Chan Sow Lin, di sini hari ini.
Pemberian buah limau mandarin itu merupakan tradisi yang dilakukan Lam Thye kepada pengamal berita akhbar ini sejak 10 tahun lalu.
Turut menyambut kehadiran Lam Thye, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Rozaman Ismail; Pengarang Berita Kanan Utusan, Muhammad Nizam Abdul Hamid dan Pengarang Berita Utusan, Herman Hamid.










