ABU DHABI 31 Jan. – Tekanan hebat yang diterima ketika menyingkirkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada separuh akhir kelmarin membuatkan Qatar menjadi semakin kuat apabila beraksi dalam final Piala Asia, esok.
Skuad Al-Annabi dibaling dengan selipar dan botol oleh penyokong tuan rumah, namun mereka masih mampu menunjukkan ketenangan untuk melakar kemenangan besar 4-0.
Barangkali, Qatar satu-satunya pasukan yang tidak ada penyokong di UAE ekoran ketegangan politik kedua-dua negara.
Keadaan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan moral anak-anak buah Felix Sanchez Bas untuk menyerlahkan karakter terbaik sebagai bakal tuan rumah Piala Dunia 2022.
Sebelum kejohanan bermula, berita bertiup kencang mengatakan Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA), Saoud al-Mohannadi tidak dibenarkan memasuki UAE, namun kontroversi itu akhirnya diselesaikan.
Perlawanan di Stadium Bandar Sukan Zayed esok jelas menuntut pemain Qatar, yang memiliki purata umur 24 tahun mempamer kematangan dan ketenangan jika mahu menjulang Piala Asia buat kali pertama.
“Ia tidak mudah. Sejak awal lagi pemain sedar tentang tekanan apabila beraksi di UAE, namun mereka berjaya mengawal emosi dengan baik.
“Ia dua cabaran berbeza. Bertemu tuan rumah, ujian kami adalah penyokong, namun Jepun pula pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak Asia.
“Kami kena menampilkan strategi berbeza kerana mereka memiliki ramai pemain yang mampu menghukum kesilapan anda,” kata Sanchez.
Penjaring terbanyak Qatar dalam Piala Asia 2019, Almoez Ali antara yang dibaling dengan kasut, namun penyerang berusia 22 tahun itu menangani situasi tersebut dengan baik.
UAE juga sebelum ini mempertikaikan kelayakan Almoez dan Bassam Al Rawi untuk bertanding dalam Piala Asia.
Almoez adalah pemain kelahiran Sudan manakala Bassam dilahirkan di Baghdad. – AGENSI











