[VIDEO] Lembaran baharu Kesultanan Pahang - Utusan Malaysia

[VIDEO] Lembaran baharu Kesultanan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN 29 Jan. – Istiadat pemasyhuran dan pelantikan Tengku Ampuan serta Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini yang membuka lembaran baharu sejarah Kesultanan Melayu Pahang berlangsung dalam suasana gilang-gemilang dan penuh adat istiadat diraja.

Istiadat dimulakan dengan bacaan surat perisytiharan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkuat kuasa 22 Januari lalu.

Istiadat diteruskan dengan perisytiharan Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam

Memuatkan artikel berkaitan…
AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLA
AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH menyerahkan watikah pemasyhuran kepada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dalam Istiadat Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, semalam. – BERNAMA 

Shah Al-Sultan Abdullah sebagai Tengku Mahkota Pahang berkuat kuasa 22 Januari lalu.

Kedua-dua titah perisytiharan berkenaan dibacakan oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah. Selepas itu, Tengku Hassanal Ibrahim membaca ikrar titah taat setia disusuli tanda tangan surat pelantikan Tengku Mahkota Pahang.

Acara diteruskan dengan istiadat menjunjung duli oleh Tengku Hassanal Ibrahim yang mana Tengku Mahkota Pahang perlu menaiki singgahsana untuk bersalaman dengan ayahanda dan bonda baginda.

Istiadat diteruskan dengan bacaan surat perisytiharan dan pelantikan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Pemangku Raja Pahang berkuat kuasa 31 Januari ini oleh Tengku Abdul Rahman.

Istiadat seterusnya ialah penganugerahan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang (DK) oleh Al-Sultan Abdullah kepada Tengku Mahkota Pahang sebelum Sultan Abdullah membaca titah diraja.

Bacaan doa oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman mengakhiri istiadat pemasyhuran yang berlangsung kira-kira satu jam berkenaan.

Bertitah pada istiadat tersebut, Sultan Abdullah menyifatkan ia satu peristiwa penuh bersejarah yang membuka satu lembaran baharu dalam sejarah Kesultanan Melayu Pahang.

“Istiadat hari ini bukanlah sekadar simbolik semata-mata, ia melengkapkan kedudukan raja pemerintah yang menjadi punca bagi segala kuasa dalam negeri dan jajahan takluknya,” titah baginda. 

Sultan Pahang Keenam itu berharap Tengku Ampuan Pahang akan menggalas gelaran itu dengan segala kemuliaan seterusnya menjadi tiang seri yang sentiasa menyokong baginda.

Mengibaratkan Tunku Azizah umpama permata indah yang laksana bidadari di dunia dan permaisuri di jannah (syurga), Sultan Pahang mahu Tengku Ampuan Pahang itu terus berbakti, menerangi serta menyinari rakyat di segenap pelosok negeri.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan Tengku Hassanal Ibrahim yang kini menjadi Waris Ganti tentang tanggungjawab untuk memelihara dan mempertahankan legasi Kesultanan Melayu Pahang.

“Ambillah pengajaran daripada pepatah Melayu lama yang berbunyi ‘umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul juga. Jika paduka anakanda berbuat baik akan tetap dimuliakan walau di mana sekali pun,” titah baginda.

Sultan Abdullah menambah, setiap sesuatu kurniaan di muka bumi Allah SWT datang bersama-sama dengan tugas dan amanah yang wajib dijunjung serta perlu dilaksanakan dengan penuh ketakwaan.

“Jangan sekali-kali juga paduka anakanda bersikap riak dan angkuh. Ambillah resmi padi, makin berisi makin me­nunduk,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini