Bekas pemimpin Melayu, pengasas DAP meninggal dunia - Utusan Malaysia

Bekas pemimpin Melayu, pengasas DAP meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 28 Jan. – Bekas pemimpin Melayu di dalam DAP yang juga antara pengasas parti itu, Zulkifli Mohd. Noor meninggal dunia kira-kira pukul 1 pagi tadi akibat masalah jantung.

Allahyarham yang berusia 71 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Petani, Kedah selepas beberapa hari dimasukkan ke hospital berkenaan.

Zulkifli merupakan antara tokoh Melayu terkenal di dalam DAP dan pernah memegang jawatan Naib Presiden Kebangsaan DAP.

Bagaimanapun, beliau bertindak keluar parti itu selepas 26 tahun menjadi ahli DAP berikutan kecewa dengan pemilihan parti tersebut pada 2013 yang disifatkannya penuh kontroversi.

Malah, beliau pada pemilihan sama turut membuat kenyataan kontroversi selepas mendakwa pemimpin DAP hanya melihat penyertaan orang Melayu di dalam parti itu sebagai ‘ahli 50 sen’ yang tidak mendatangkan kepentingan kepada parti.

Setahun kemudian, Zulkifli bersama seorang lagi bekas ahli DAP, Rahmad Isahak menubuhkan Parti Alternatif Rakyat (PAP) yang berpangkalan di negeri ini dengan beliau merupakan Presiden.

Namun, kedua-dua bertindak keluar daripada PAP pada Februari tahun lalu akibat krisis dalaman parti tersebut sebelum Zulkifli mengambil keputusan bersara dalam politik.

Dalam pada itu, difahamkan jenazah Allahyarham Zulkifli akan dibawa pulang ke rumahnya di Taman Sahabat, Jalan Gertak Sanggul di sini untuk dikebumikan pagi ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga  anak masing-masing dua lelaki dan seorang perempuan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×