KUANTAN 26 Jan. – Kemeriahan majlis perkahwinan pasangan bisu di Dewan Mentiga Perkampungan Sungai Isap 2 di sini hari ini diserikan dengan kehadiran Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang sudi mencemar duli singgah di situ bagi menjenguk pengantin baharu berkenaan.
Pasangan pekak dan bisu itu, Mohd. Hafizan Zaini, 27, dan Siti Norbayah Mohamad Hoe, 24, yang diijabkabulkan pagi ini tidak menyangka Sultan Abdullah sudi menghadiri majlis perkawinan mereka itu dan menyifatkan ia adalah saat-saat paling menggembirakan dalam hidup.
Sultan Abdullah tiba di dewan berkenaan dengan berjalan kaki kira-kira 500 meter pada pukul 2.15 petang selepas menunaikan solat Zohor berjemaah di Masjid Al-Falah dan mengunjungi rumah baharu sebuah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di situ.
Menurut Siti Norbayah, dia dan suaminya amat bertuah dan ia pasti menjadi detik yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hidup mereka.
“Saya terkejut dan teruja apabila dimaklumkan Sultan Abdullah berkenan singgah di majlis meraikan perkahwinan kami kira-kira tiga jam sebelum ketibaan baginda.
“Lazimnya saya dan ahli keluarga ke istana Tuanku setiap kali Hari Raya Aidilfitri tetapi kali ini baginda pula yang muncul dalam majlis perkahwinan saya,” katanya dengan menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan oleh ibu saudaranya, Aida Syafizaz Sulaiman. – UTUSAN ONLINE











