MELBOURNE 24 Jan. – Bintang tenis sensasi Jepun, Naomi Osaka tidak pernah melepasi pusingan keempat dalam 10 kejohanan Grand Slam pertama yang disertainya.
Begitupun hari ini, pemain berusia 21 tahun itu berada di ambang untuk merangkul kejuaraan Grand Slam kedua berturut-turut, malah menghampiri ranking No. 1 dunia.
Osaka hanya selangkah untuk menjulang trofi Terbuka Australia selepas mara ke perlawanan akhir dengan menyingkirkan jaguh Republik Czech, Karolina Pliskova 6-2, 4-6, 6-4 dalam separuh akhir hari ini.
Kejayaan itu hadir hanya empat bulan setengah selepas dia dinobat sebagai juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan menewaskan idolanya, Serena Williams.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan tentang rekod atau sejarah, hanya cuba yang terbaik sepanjang berada di dalam gelanggang,” kata Osaka, yang menyelamatkan empat mata break selain mencatat 15 ace sepanjang perlawanan.
Osaka satu-satunya pemain wanita Jepun yang pernah menjuarai gelaran Grand Slam kini akan menentang juara Wimbledon dua kali, Petra Kvitova dalam final, Sabtu ini.
Osaka kini menghuni ranking keempat dunia manakala bintang Republik Czech, Kvitova di tangga keenam. Pemenang Terbuka Australia 2019 akan merampas takhta No. 1 dunia daripada Simona Halep.
Kvitova, 28, yang nyaris melupakan tenis selepas berdepan insiden hitam ditikam penceroboh di rumahnya dua tahun lalu, mara selepas menewaskan Danielle Collins dari AS 7-6 (7/2), 6-0. – AGENSI










