Cuci pinggan sara hidup - Utusan Malaysia

Cuci pinggan sara hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 24 Jan. – Kira-kira 20 nelayan pantai di Pangkalan Nelayan Gelam, di sini mengeluh kerana sumber rezeki mereka terjejas ekoran bot dan enjin milik mereka kerap menjadi sasaran pencuri.

Yang membimbangkan me­reka, pencuri dipercayai datang dari kawasan di sekitar negara jiran, Indonesia dengan menceroboh perairan negara untuk melakukan jenayah tersebut.

Seorang nelayan, Hussain Ismail, 51, berkata, bot ibarat nyawa kepada nelayan mencari rezeki di laut dan pendapatan mereka akan terputus apabila kehilangan kenderaan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…
T. MUHAMMAD ISA
T. MUHAMMAD ISA 

“Baru-baru ini, dua buah bot dan 12 enjin sangkut dicuri, manakala stor di pangkalan nelayan ini dipecahkan. Mereka juga mengambil tong minyak, aksesori dan peralatan milik nelayan.

“Ada antara nelayan yang pernah hilang bot sebanyak empat kali. Memandangkan sebuah bot paling murah berharga RM6,000, ramai yang tidak mampu membeli bot baharu. Apabila ini berlaku, nelayan tidak dapat cari makan dan menyara keluarga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Husain berkata, kejadian seumpama ini bukanlah perkara baharu dan apabila laporan dibuat, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memberi alasan tidak mempunyai kelengkapan dan anggota mencukupi bagi membanteras ke­giatan pen­ce­ro­bohan berkenaan.

Seorang lagi nelayan, T. Muhammad Isa, 61, berkata, ada nelayan terpaksa menunggu selama bertahun-tahun membeli bot baharu dan tiada peruntukan disediakan kerajaan untuk tujuan berkenaan.

“Apabila bot dicuri, hanya ihsan rakan-rakan yang dapat membantu dan kami menum­pang bot mereka untuk sama-sama menangkap ikan.

“Ada juga yang terpaksa mencari jalan lain seperti mengambil upah membasuh pinggan di kedai makan, membersihkan kebun dan sebagainya akibat ketiadaan bot untuk pergi ke laut mencari rezeki,” katanya.

Tambahnya, terdapat nelayan yang membeli bot melalui pinjaman bank, namun apabila bot tersebut dicuri, mereka terpaksa menanggung bayaran pinjaman tersebut.

Sementara itu, Norhazari Harun, 50, yang kehilangan bot sebanyak dua kali berkata, kejadian tersebut turut me­nimpa nelayan lain daerah ini dan mereka kecewa kerana masalah yang berpunca daripada pencerobohan perairan negara belum diatasi sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini