CAMERON HIGHLANDS 24 Jan. – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Sabtu ini penting untuk membawa mesej rakyat bahawa mereka tidak mahu lagi terus ditipu oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelbagai janji yang ditaburkan oleh PH sebelum ini bukan sahaja tidak ditunaikan malah mereka sering membangkitkan kemarahan rakyat dengan memainkan sentimen perkauman dan agama.
Menurut beliau, kerajaan hari ini mungkin baharu tetapi harapan yang ditawarkan mereka kepada rakyat adalah harapan palsu yang mana rakyat telah berulang kali ditipu.
“Beri isyarat bersama dengan kemenangan BN di Cameron Highlands ini. Bantu kami untuk beri mesej kepada PH bahawa rakyat sebenarnya sedang marah kepada mereka.
“Rakyat tidak mahu lagi berterusan ditipu, orang muda dan peneroka felda juga tidak mahu terus ditipu. PRK kali ini penting, beri undi kepada BN untuk beri isyarat bahawa rakyat tidak akan ditipu untuk selama-lamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pidato Pemuda UMNO-Pas yang turut dihadiri Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi di Tanah Rata di sini semalam. – UTUSAN ONLINE











