PARIS – Jose Mourinho kini dikaitkan dengan tugas sebagai jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) selepas dia dikatakan telah berjumpa dengan presiden kelab gergasi Perancis itu baru-baru ini.
Bekas pengurus Manchester United tersebut dilaporkan telah bertemu Nasser Al-Khelaifi ketika dijemput menjadi tetamu undangan di sebuah stesen televisyen terkenal, beIN Sport di Qatar.
Mourinho pernah diburu oleh PSG dalam usaha kelab itu mendapatkan khidmatnya sejak beberapa musim lalu.
PSG ketika ini dilihat semakin hampir menjulang gelaran keenam berturut-turut dalam saingan Ligue 1 apabila selesa 13 mata di carta liga.
Namun, jurulatihnya, Thomas Tuchel bakal berdepan tekanan hebat sekiranya kelab terkaya Eropah itu gagal sekali lagi memenangi trofi Liga Juara-Juara musim ini.
Mereka akan berdepan Manchester United pada aksi pertama pusingan kalah mati di Old Trafford bulan depan.
Situasi itu menyaksikan Mourinho memberi bayangan bahawa dia bersedia berbincang dan mendengar sebarang tawaran daripada PSG sekiranya Tuchel gagal memenuhi sasaran yang diletakkan oleh mereka.
“Saya ketika ini menjalani kehidupan dengan gembira dan tanpa tekanan. Ia satu perasaan yang amat luar biasa apabila menjalani kehidupan seperti orang biasa.
“Tetapi saya tahu hujung musim nanti saya mungkin berdepan kembali situasi yang pernah saya alami. Ia perkara biasa tetapi buat masa sekarang saya mahu menikmati keseronokan hidup saya dengan lebih tenang,” jelas Mourinho. – Agensi










