‘Henti sebar gambar adik’ - Utusan Malaysia

‘Henti sebar gambar adik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 23 Jan. – Ahli keluarga pemuda yang maut dalam kemalangan ngeri di Jambatan Pulau Pinang memohon warga­net untuk memadam gambar dan menghentikan sebaran video Moey Yun Peng, 20, bagi menghormati perasaan keluarga yang masih bersedih dengan kejadian itu.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dennis berkata, setiap kali keluarganya melihat gambar mangsa yang masih tersepit di dalam kende­raan dipaparkan dalam media sosial, perasaan mereka akan lebih pilu.

“Memang sedihlah sebab banyak gambar adik saya tersebar dan gambar-gambar serta video itu agak tidak sesuai. Kami mohon jasa baik warganet untuk berhenti menyebarkan gambar dan video adik kami. Perasaan saya dan ibu bapa amat terluka dan sedih,” katanya ketika ditemui di Taman Kempas di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas lebih dua hari terjunam ke dalam laut di bawah Jambatan Pulau Pinang, SUV Mazda CX-5 yang dipandu Yun Peng berjaya dinaikkan kira-kira pukul 5.50 petang semalam.

Dennis memberitahu, ahli keluarganya juga meminta orang ramai agar menghentikan segala spekulasi mengenai kejadian kemalangan tersebut.

“Biarkan pihak polis jalankan siasatan mereka, ada yang kaitkan kemalangan berlaku disebabkan perlumbaan namun biarkan polis yang tentukan hal ini. Kami juga memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat dalam kesesakan lalu lintas yang teruk di Jambatan Pulau Pinang ketika usaha-usaha mencari dan menyelamat Yun Peng dijalankan,” katanya.

Dennis berkata, ibu dan ayahnya yang kedua-duanya berumur lingkungan 60-an sudah mula menerima hakikat yang menimpa satu-satunya saudara kandungnya itu.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang bertungkus lumus mencari kereta dipandu adiknya sebelum berjaya membawa naik ke atas Jambatan Pulau Pinang.

Ujar Dennis, pada tahun ini keluarga mereka tidak akan menyambut Tahun Baharu Cina kerana berkabung dan bersedih dengan kejadian menimpa mendiang.

Tambahnya, dia dan keluarga belum bersedia untuk bertemu dengan ahli keluarga pemandu Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan tersebut buat masa ini walaupun mendiang dikatakan rakan pemandu berkenaan.

“Upacara pengebumian mendiang akan diadakan di Tanah Perkuburan Cina Berapit pada pukul 10 pagi esok,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Te­ngah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid berkata, pemandu kereta To­yota Vios berusia 21 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas 15 jam diambil keterangan.

Menurutnya, pemuda itu yang menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah SPT kira-kira pukul 2 pagi hari ini dibebaskan kira-kira pukul 6.45 petang.

“Setakat ini pihak polis masih menunggu laporan ujian darah dan ujian alkohol pemandu berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×