Dna malaysia di bangsamoro - Utusan Malaysia

Dna malaysia di bangsamoro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISNIN lepas hampir tiga juta penduduk Islam di Mindanao, Filipina iaitu wilayah bergolak yang lebih dikenali Bangsamoro menunai tanggungjawab pungutan suara yang bakal menentukan masa depan mereka.

Pungutan suara tersebut adalah untuk menentukan sama ada mereka menerima atau sebaliknya, Perundangan Organik Bangsamoro (BOL) yang akan membentuk wilayah Bangsamoro yang dikenali sebagai Wilayah Autonomi Islam Mindanao Bangsamoro (BARMM).

Wilayah Bangsamoro dalam keadaan sekarang adalah antara wilayah termundur di Filipina dan bukan menjadi rahsia keadaan tidak stabil ini sedikit sebanyak mempengaruhi Sabah, terutama jika ancaman pengganas diambil kira.

Jika penubuhan BARMM dipersetujui, maka penduduk Islam Moro ini akan mempunyai lebih kuasa autonomi dalam mengurus wilayah mereka termasuk memperoleh kekayaan sumber asli wilayah tersebut.

Sebab itu, bukan sahaja rakyat Filipina tetapi juga rakyat Malaysia menunggu dengan penuh minat apakah kesimpulan dari pungutan suara yang bakal diketahui esok (Jumaat).

Perlu ditekankan penglibatan Kuala Lumpur terutama sebagai perantara rundingan di antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) adalah begitu lama dan kritikal bermula sejak 2001 lagi.

Banyak kejayaan dan dugaan ditempuh. Kadang-kala dituduh tidak jujur atau disabotaj tetapi Kuala Lumpur tetap berpendirian tidak mahu berputus asa kerana nasib penduduk minoriti Islam ini sedikit sebanyak bergantung kepada kecekalan Kuala Lumpur.

Sering kali Manila menggunakan isu tuntutan Sabah sebagai modal politik mereka yang kadang kala dicampur aduk dengan peranan Kuala Lumpur sebagai perantara.

Dan timbul pula kemusykilan bahawa Manila sengaja menimbulkan isu tuntutan Sabah dengan niat untuk menggagalkan peranan perantara yang dipikul oleh Kuala Lumpur.

Sebagai jiran Manila, Kuala Lumpur yang berhasrat menyaksikan kemakmuran di wilayah itu telah mempertaruhkan maruah demi menamatkan persengketaan. Tidak pernah Kuala Lumpur cuba meraih manfaat dari konflik itu demi kepentingan politik tempatan.

Tidak pernah pula timbul desakan Kuala Lumpur kepada Manila supaya memberi kemerdekaan penuh kepada wilayah bergolak hanya kerana mahu mengikut kehendak politik tempatan Malaysia.

Tidak dinafikan kejayaan persetujuan di antara Manila dan MILF membentuk Kerangka Perundangan Asas Bangsamoro (FAB) bagi menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) pada 2012 adalah antara inisiatif Kuala Lumpur yang tidak pernah putus asa.

Begitu juga pada 2014 apabila Perjanjian Komprehensif Bangsamoro (CAB) mengenai penubuhan wilayah autonomi melalui Perundangan Asas Bangsamoro (BBL) yang mana peranan Kuala Lumpur tidak boleh diperkecilkan.

Oleh kerana percaturan politik Filipina, BBL gagal diluluskan oleh Kongres Filipina pada 2016 dan hasrat penduduk Moro menggantikan ARMM yang ternyata gagal tidak kesampaian.

Malah Kuala Lumpur juga telah memainkan peranan utama dalam pembentukan tentera pengaman di Mindanao yang dikenali sebagai Kumpulan Pemantau Antarabangsa (IMT) yang dibentuk pada 2004.

Pasukan pengaman IMT ini terdiri daripada gabungan tentera dari Kesatuan Eropah (EU), Indonesia, Jepun, Norway dan diketuai Malaysia. Peranan IMT kritikal dalam menentukan kejayaan rundingan kedua-dua pihak bertelagah iaitu Manila dan MILF.

Pungutan suara yang baru selesai akan menentukan status BOL pada asasnya adalah BBL yang telah diubah suai supaya dapat diterima oleh Kongres Filipina.

Tiga tahun lalu BBL gagal bukan kerana ditolak oleh penduduk Islam Moro yang merangkumi lima peratus keseluruhan penduduk Filipina, tetapi kerana BBL ditolak oleh Kongres demi menjaga agenda politik masing-masing.

Tetapi hari ini BOL yang diterima Kongres manakala keputusan akhir bergantung kepada rakyat Filipina yang menetap di wilayah bergolak Mindanao dan dijangkakan lebih 80 peratus akan menerima BOL sebagai asas pembentukan wilayah Bangsamoro.

Kuala Lumpur telah menyumbang sedaya upaya demi menentukan rakyat Moro Filipina mampu hidup dalam aman damai dan menikmati pembangunan yang begitu lama diabaikan oleh Manila.

Tidak dinafikan Presiden Rodrigo Duterte, telah menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan beliau untuk memberi kuasa autonomi yang lebih bermakna kepada wilayah Bangsamoro melalui BOL.

Ini adalah antara janji kempen pemilihan Presiden tiga tahun lepas walau pun menghadapi pelbagai rintangan tetapi sudah hampir tercapai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×