Akta Hasutan perlu perkenan Raja - Utusan Malaysia

Akta Hasutan perlu perkenan Raja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKTA Hasutan asalnya undang-undang sedia ada sebelum merdeka (existing law – Lihat Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan).

Seksyen 3(1)(f) dimasukkan ke dalam Akta Hasutan selepas peristiwa 13 Mei 1969 melalui Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 45, 1970 (PU (A) 282/1970) berkuat kuasa pada 10 Ogos 1970.

Pengisian Seksyen 3(1)(f) adalah sama dengan Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu peruntukan yang dimasukkan melalui Pindaan 1971.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan memperuntukkan “sesuatu kecenderungan menghasut” ialah kecenderungan-(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.”

Pada 10 Mac 1971 juga kerana kesan tragedi 13 Mei 1969, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memasukkan Perkara 10(4) yang memperuntukkan, “…Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III (Kewarganegaraan), Perkara 152 (Bahasa Melayu), 153 (perizaban kuota untuk Melayu dan Anak Negeri) atau 181 (kedaulatan raja-raja).”

Pindaan 1971 ini juga melibatkan pindaan Perkara 159(5) yang memperuntukkan “sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.” Perkara 159(6) pula menyatakan dalam perkara ini “pindaan termasuklah tambahan dan pemansuhan”.

Selain dihujahkan sebagai akta ketinggalan zaman dan menyekat kebebasan bersuara, sering kali pihak yang menyokong pindaan atau pemansuhan Akta Hasutan berhujah bahawa akta ini serupa dengan akta lain dan boleh dipinda atau dimansuhkan hanya oleh Parlimen.

Saya menolak pandangan ini. Akta Hasutan berbeza. Pindaannya memerlukan prosedur berlainan yang telah disediakan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Ia perlu diluluskan Parlimen melalui undi majoriti dua pertiga pada bacaan kedua dan ketiga di kedua-dua Majlis Parlimen dan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja kerana sebahagian seksyen dalam Akta Hasutan terutama Seksyen 3(1)(f) dibuat mengikut Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, prosedur pindaan atau pemansuhan Akta Hasutan perlu mematuhi Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Akta Hasutan adalah akta sebelum merdeka, ia disahkan selepas merdeka melalui proses semakan semula undang-undang di bawah Akta Penyemakan Undang-Undang 1968. Hanya undang-undang selepas merdeka dinamakan “Akta”.

Undang-undang sebelum merdeka dikenali sebagai Enakmen (undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan sebelum merdeka) atau Ordinan (undang-undang yang dibuat semasa darurat).

Apabila undang-undang sebelum merdeka disemak semula, ia menjadi Akta dan ia diwartakan sebagai undang-undang.Justeru, Akta Hasutan adalah undang-undang selepas merdeka dan tidak lagi undang-undang sedia ada sebelum merdeka.

Namanya sendiri telah berubah menjadi Akta. Sebarang pindaan atau pemansuhan Akta Hasutan perlu menepati proses yang kini ditetapkan Perlembagaan.

Dan oleh kerana Akta Hasutan ini adalah Akta yang berkaitan dengan Raja-raja terutamanya Seksyen 3(1)(a)(b)(d) dan (f), maka Perkara 38(4) berkenaan perkenan Majlis Raja-Raja Perlembagaan harus dipatuhi.

Atas hujah-hujah yang dinyatakan, Akta Hasutan hanya boleh dipinda atau dimansuhkan melalui sokongan dua pertiga pada bacaan kedua dan ketiga dan diperkenan oleh Majlis Raja-Raja menurut peruntukan Perkara 159(5) dan juga Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

PROF. MADYA DR. SHAMRAHAYU ABDUL AZIZ ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×